Harimau serang ternakan kembali ke Hutan Simpan Kinta

Harimau serang ternakan kembali ke Hutan Simpan Kinta

SUNGAI SIPUT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mendapati harimau belang yang dilaporkan menyerang ternakan penduduk di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan bulan lalu, telah kembali semula ke habitatnya di Hutan Simpan Kinta.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, tinjauan staf Unit Harimau di lokasi terbabit mendapati kelibat harimau tersebut tidak lagi kelihatan.

Malah katanya, tiada aduan terbaru diterima berhubung kehadiran haiwan pemangsa itu di lokasi berkenaan.

“Kita percaya harimau itu telah masuk balik ke dalam Hutan Simpan Kinta. Bagaimanapun, tidak mustahil haiwan itu akan datang semula untuk mencari ternakan yang dibiarkan bebas meragut,” katanya ketika ditemui pada operasi pemindahan gajah liar di Kampung Orang Asli Talang, Pos Perwor di sini hari ini.

Menurut beliau, harimau itu dipercayai masuk ke kawasan kampung untuk memburu makanan berikutan populasi babi hutan yang berkurangan di hutan berhampiran akibat demam babi Afrika.

Katanya, dari segi geografi, kedudukan Hutan Simpan Kinta terletak tidak jauh dari kawasan perumahan dan perkampungan.

“Penduduk kampung dinasihatkan supaya mengawasi dan tidak membiarkan haiwan ternakan berkeliaran terutama di lokasi kejadian,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Perhilitan Perak memasang perangkap khas untuk menangkap harimau belang yang menyerang lembu ternakan penduduk pada 17 Januari lalu.

Perangkap khas itu merupakan tindakan susulan selepas pemasangan kamera bagi tujuan pengesanan haiwan tersebut. Bagaimanapun, masih belum ada sebarang ‘kelibat’ kehadiran haiwan berkenaan. – UTUSAN

Scroll to Top