ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui, nekad memberikan aksi terbaik di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China, minggu depan, walaupun baru digandingkan bersama.
Mereka yang disenaraikan bersama pasangan Teoh Mei Xing-Go Pei Kee dalam skuad negara, sedar cabaran besar menanti dalam saingan Kumpulan B yang turut dihuni Indonesia dan Hong Kong.
Namun, bagi Zhing Yi, perbezaan ranking bukan alasan untuk mereka gentar berdepan lawan lebih berpengalaman.
“Memang pemain Indonesia dan Hong Kong memiliki ranking lebih tinggi, tapi jika diberi peluang bermain, kami akan cuba beri tentangan sengit.
“Kami tidak rasa gentar kerana apa yang penting adalah fokus dan percaya dengan persiapan dilakukan,” katanya.
Bagi Su Hui, kejohanan itu lebih kepada medan untuk mereka menguji keserasian selain mengikut strategi yang ditetapkan barisan kejurulatihan.
“Kami tidak meletakkan sasaran tinggi kerana ini kejohanan pertama kami bersama. Apa yang penting, kami mahu memberikan aksi terbaik dan mengikut perancangan jurulatih.
“Selain itu, kami juga mahu memanfaatkan kejohanan ini sebagai peluang untuk belajar dan menimba pengalaman berdepan pemain berkualiti tinggi,” katanya.
Skuad negara akan memulakan cabaran BAMTC 2025 dengan menentang Hong Kong pada 14 Februari sebelum berdepan Indonesia sehari kemudian.
© New Straits Times Press (M) Bhd