Seorang pelajar Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) di Londang, Masjid Tanah, Melaka, Ahmad Saffiyudeen Ahamad Nzly meninggal dunia secara mengejut selepas pengsan ketika sedang memberikan taklimat sukan di kolej berkenaan malam tadi.
Memetik laporan Harian Metro, bapa saudaranya, Muhammad Fakrulrazi Abdul Talib memberitahu punca kematian anak saudaranya itu adalah disebabkan oleh kebocoran pada jantung.
Kebocoran jantung punca arwah meninggal dunia
Difahamkan, arwah tidak menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan yang serius sebelum ini. Namun, arwah pernah mendapatkan rawatan berkaitan jantung di hospital.
Apa yang saya tahu kakaknya beritahu arwah pernah mendapatkan rawatan berkaitan jantung tetapi sudah lama sebelum bapanya meninggal lagi tetapi selepas itu tiada rawatan susulan lagi. Cuma hasil bedah siasat tadi doktor maklumkan saluran utama jantung dia makin menipis sehingga menyebabkan kebocoran.
Kongsi bapa saudara lagi, allahyarham Ahmad Saffiyudeen tinggal bersamanya di Damansara selepas pemergian bapanya. Sejak itu, arwah menjadi lebih pendiam dan banyak menyendiri di rumah.
Arwah agak menyendiri di rumah, periang di kolej
Mungkin dia agak rindu dengan arwah bapanya kerana jika di rumah dia agak menyendiri, namun rakannya memberitahu dia seorang yang periang.
Ujarnya lagi, arwah sedang memberikan taklimat sukan sebelum tiba-tiba bercangkung di meja urus setia dan tidak lama kemudian jatuh ke belakang dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Rakan-rakan yang berada di tempat kejadian cuba memberikan rawatan kecemasan (CPR), namun keadaan Ahmad Saffiyudeen semakin kritikal.
Beliau kemudiannya dikejarkan ke Hospital Alor Gajah dan disahkan meninggal dunia pada jam 11.14 malam.
Kehilangan Ahmad Saffiyudeen secara tiba-tiba ini memberikan kesan mendalam kepada keluarga dan rakan-rakannya.
Pemergiannya bukan sahaja meruntun hati ahli keluarga, malah turut mengejutkan seluruh warga kolej yang mengenalinya sebagai seorang pelajar yang aktif dalam kegiatan sukan.