![AS bekal senjata lebih RM32 bilion, bantu Israel serang Gaza AS bekal senjata lebih RM32 bilion, bantu Israel serang Gaza](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/02/08/2999083.jpg)
Kerajaan AS diketuai Presiden Donald Trump meluluskan penjualan senjata lebih RM32 bilion, bantu Israel serang Gaza
WASHINGTON – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah meluluskan penjualan senjata termasuk bom, peluru berpandu dan peralatan ketenteraan bernilai AS$ 7.4 bilion (RM32.855 bilion) kepada Israel untuk membantu persiapan perang rejim Zionis di Gaza.
Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS (DSCA) mendedahkan Jabatan Negara telah memberi kelulusan untuk penjualan bom bernilai AS$6.75 bilion (RM29.969 bilion), kit panduan dan pemicu selain daripada peluru berpandu Hellfire bernilai AS$660 juta (RM2.930 bilion).
“Penjualan bom yang dicadangkan ini meningkatkan keupayaan Israel untuk menghadapi ancaman semasa dan masa depan, mengukuhkan pertahanan tanah airnya dan bertindak sebagai pencegah terhadap ancaman serantau.
“DSCA juga berharap penjualan peluru berpandu ini akan meningkatkan keupayaan Israel untuk menghadapi ancaman semasa dan masa depan dengan meningkatkan kemampuan Tentera Udara Israel untuk mempertahankan sempadan negara berkenaan, infrastruktur penting dan pusat populasi, ” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Untuk rekod, Israel melancarkan serangan besar-besaran terhadap Hamas di Gaza pada Oktober 2023 sebagai tindak balas terhadap serangan luar biasa yang dilakukan oleh kumpulan pejuang Palestin itu pada bulan sama.
Perang itu telah memusnahkan sebahagian besar Gaza – sebuah wilayah kecil di pesisir Laut Mediterranean – menyebabkan pemindahan besar-besaran penduduknya, namun gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak bulan lalu, menghentikan konflik yang meragut banyak nyawa dan membolehkan pembebasan tebusan diculik Hamas.
Sebagai respons terhadap kebimbangan mengenai kematian orang awam, pentadbiran bekas Presiden As, Joe Biden telah menghalang penghantaran bom seberat 2,000 paun kepada Israel, bagaimanapun penggantinya, Donald Trump dilaporkan telah meluluskan penghantaran berkenaan.