1,330 kes jenayah komersial, RM42.06 juta kerugian dilaporkan di Terengganu tahun lalu

1,330 kes jenayah komersial, RM42.06 juta kerugian dilaporkan di Terengganu tahun lalu

zatuliffah@hmetro.com.my.

Kuala Terengganu: Polis Terengganu merekodkan sebanyak 1,330 kes jenayah komersial membabitkan kerugian kira-kira RM42.06 juta pada tahun lalu berbanding hanya 1,237 kes dengan kerugian sebanyak RM34.12 juta pada 2023.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 93 kes atau 7.51 peratus dengan peningkatan kerugian kira-kira RM7.9 juta atau RM23.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, sebanyak 742 tangkapan kes jenayah komersial berjaya dilakukan pada 2024 berbanding 710 tangkapan bagi 2023 dengan peningkatan sebanyak 32 orang bersamaan 4.5 peratus.

“Walaupun indeks jenayah di Terengganu rendah tetapi kejadian ‘scammer’ ini hari-hari ada dan kita (polis) berkolabarasi bersama agensi yang lain untuk memberi peringatan supaya masyarakat ini sedar ‘scammer’ ini hari-hari ada.

“Dulu kita bercakap hanya golongan rendah menjadi sasaran tetapi sekarang bukan hanya golongan rendah, golongan profesional turut terbabit dengan pelaburan tidak wujud menjadi penyumbang kepada statistik jenayah komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni golongan asnafpada Program Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Sektor Swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Mohd Khairi berkata, sebanyak 153 kes jenayah komersial RM3.79 juta direkodkan pada Januari lalu berbanding sebanyak 123 kes dengan kerugian sebanyak RM2.59 juta pada Januari 2024.

Katanya, sebanyak 92 tangkapan berjaya dilakukan pada Januari lalu berbanding sebanyak 71 tangkapan pada Januari 2024.

“Melihat kepada kadar peningkatan ini, saya ingin menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan penipuan dalam talian.

“Kesedaran itu masih rendah tetapi kita tidak akan berhenti memberi peringatan kerana jenayah scammer ini tidak mengenal mangsa dan sesiapa sahaja boleh terpedaya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top