Kane meledak dua gol ketika berdepan Bremen. Foto: Agensi
BAYERN Munich melebarkan status pendahulu Bundesliga Jerman selepas membelasah Werder Bremen, 3-0 di Stadium Allianz Arena untuk kemenangan liga ketujuh berturut-turut.
Tiga mata itu membolehkan skuad kendalian Vincent Kompany itu meninggalkan pesaing terdekat Bayer Leverkusen yang kurang satu perlawanan dengan sembilan mata.
Gol Bayern dalam perlawanan berkenaan dijaringkan Harry Kane menerusi dua penalti (m-56, m-97) dan Leroy Sane (m-83) untuk mata ke-54 liga selepas mengharungi 21 perlawanan.
Kemenangan itu juga motivasi terbaik buat Bayern sebelum menentang kelab liga Scotland, Celtic dalam perlawanan playoff pertama Liga Juara-Juara di Celtic Park, Glasgow pada Khamis depan.
Bayern kemudian akan bertandang ke Bay Arena untuk berdepan Leverkusen dalam aksi Bundesliga pada 16 Februari sebelum melayan kunjungan Celtic bagi aksi timbal balik kedua playoff pemburuan slot 16 terbaik Liga Juara-Juara.
Sementara itu, Kane yang kali ketujuh menjaringkan gol pendahuluan buat Bayern musim ini juga jaringan ke-21 liga mengakui teruja menjadi pencetus kepada menyemarakkan semangat pemain gergasi Jerman berkenaan.
“Saya sentiasa mahu bertanggungjawab membuka laluan perjalanan untuk permainan.
“Situasi yang bagus ini berlaku beberapa kali musim ini. Saya seronok berada di sini bersama pemain-pemain lain.
“Malah satu motivasi kepada pasukan yang akan berdepan cabaran besar berdepan jadual padat sepanjang Februari.
“Adalah penting mengekalkan fokus dan menang hari ini untuk meraih sembilan mata di tangga teratas.
“Kami mempunyai dua perlawanan besar di tempat lawan minggu depan. Kami perlu mendorong diri sendiri dan melihat sejauh mana kami boleh pergi,” kata pendahulu penjaring terbanyak Bundesliga musim ini tersebut.