OIC perlu lebih tegas pejuang isu Palestin

OIC perlu lebih tegas pejuang isu Palestin

PETALING JAYA: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memperjuangkan isu Palestin selaras dengan asas penubuhannya pada 1969 yang bertujuan mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Haikal Zulkefli berkata, tindakan OIC ketika ini dilihat kurang berkesan dalam mempertahankan hak rakyat Palestin malah semakin banyak negara Islam memilih untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel.

Katanya, OIC perlu kembali kepada perjuangan asalnya bagi memastikan kesucian Masjid al-Aqsa tidak dicemari dan dihina.

“Dengan kekuatan 57 negara anggotanya serta populasi umat Islam yang merangkumi 24.1 peratus daripada penduduk dunia, OIC mempunyai keupayaan untuk mengangkat isu Palestin ke peringkat tertinggi termasuk di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Kebanyakan negara Islam juga merupakan antara pengeluar minyak terbesar dunia dan seperti yang pernah berlaku pada 1973, kekuatan ekonomi ini boleh digunakan untuk mengenakan tekanan dan embargo terhadap negara-negara yang terlibat dalam penghancuran Palestin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, tindakan pemindahan atau pengusiran paksa rakyat Palestin dari tanah air mereka merupakan pembersihan etnik yang jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa serta pelbagai resolusi PBB.

Tambah Haikal, tindakan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung isu Palestin bukanlah sesuatu yang mengejutkan, dengan mengambil kira pendiriannya sebelum ini melalui Perjanjian Abraham (Abraham Accords) pada 2020.

“Namun, kali ini beliau tampil dengan pendekatan lebih agresif dan populis mengenai penempatan semula penduduk Gaza ke negara-negara Arab seperti Jordan dan Mesir. Ini adalah bukti jelas bahawa Israel dengan sokongan AS sedang melaksanakan pembersihan etnik secara sistematik,” katanya.

Jelasnya, usaha pembersihan etnik bukan sekadar bermula ketika perang pada Oktober 2023, tetapi telah berlangsung sejak Perjanjian Sykes-Picot dimeterai pada 1916.

“Israel tidak mempunyai jalan lain untuk menguasai Palestin sepenuhnya selain melalui pembunuhan beramai-ramai dan pengusiran paksa rakyat Palestin dari tanah air mereka,” katanya.-UTUSAN.

Scroll to Top