Pemain beregu lelaki negara Yap Roy King (kiri) bersama Wan Arif Wan Junaidi (kanan) beraksi ketika sesi latihan di Petronas Akademi Badminton Malaysia. Foto: Bernama
YAP Roy King sudah bersedia menampilkan prestasi terbaik bersama Wan Arif Wan Junaidi sekiranya diberikan tanggungjawab dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025.
Malah, Roy King berkata, setiap pemain lain juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pasukan negara meraih mata dalam setiap perlawanan.
“Setiap pemain mempunyai peranan penting dalam kejohanan kali ini dan apabila tiba giliran kami sebagai beregu lelaki untuk beraksi, semestinya kami sudah bersedia menampilkan aksi terbaik dalam gelanggang begitu juga Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
“Kami sudah bersedia untuk memberikan aksi 100 peratus bagi membantu pasukan meraih mata penting dalam setiap perlawanan,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Jumaat.
Sebagai rekod, cabaran skuad beregu lelaki negara di BAMTC digalas Wei Chong-Kai Wun dan Roy King-Wan Arif yang disifatkan sebagai bahagian paling berpotensi menyumbang mata negara.
Selain itu, satu lagi bahagian berpotensi menyumbang mata negara dari kem beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.
Dalam pada itu, Wan Arif percaya pengalaman pengendali beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mampu meningkat gaya permainan di BAMTC.
“Beberapa corak latihan baharu telah diterapkan kepada kami biarpun baru seminggu berlatih bersama coach Herry.
“Coach memberi tumpuan kepada aspek teknikal, kami akan berusaha untuk menyesuaikan diri segera.
“Ini sebenar secara tidak langsung meningkatkan keyakinan kami juga Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk kejohanan ini,” katanya.