Perodua peruntuk RM1.6 bilion

Perodua peruntuk RM1.6 bilion

lizamridzuan@hmetro.com.my

PERODUA memperuntukkan sejumlah RM1.6 bilion untuk perbelanjaan modal (CAPEX) tahun ini dengan sebahagian besar pelaburannya dikhaskan untuk penambahbaikan kilang, peningkatan kapasiti tera (stamping) serta pembangunan model baharu dan perkakasan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, jumlah RM1.6 bilion itu adalah lebih sekali ganda CAPEX syarikat pada 2024 iaitu RM797.5 juta.

“Kami mahu menumpukan kepada pelaburan semula keupayaan kami. Pelaburan ini akan menyatukan kapasiti pengeluaran termasuklah di peringkat pembekal, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produktiviti di samping mengukuhkan perancangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk kami serta keupayaan pembangunan model baharu,” katanya.

Menurutnya, Perodua telah melepasi kapasiti pengeluarannya dengan 368,100 kenderaan dikeluarkan pada 2024, melebihi kapasiti sebanyak 320,000 untuk kedua-dua kilangnya.

“Rekod 368,100 unit itu dicapai dengan meminimumkan masa henti (downtime), mengikuti jadual penyelenggaraan, koordinasi dan perancangan dinamik dengan pembekal dan pengedar kami serta tangkas dalam menangani cabaran,” katanya.

Zainal Abidin berkata, 2025 akan menjadi batu loncatan kepada masa depan Perodua dengan penekanan terhadap kemandirian syarikat itu dari segi keupayaan pengeluaran, terutamanya dalam membangunkan produk di masa akan datang.

“Bagi 2025, kami menjangka jumlah pengeluaran merosot sebanyak 4.9 peratus kepada 350,000 unit daripada 368,100 unit yang dicatatkan pada 2024.

“Pengurangan ini juga akan menyaksikan jumlah pendaftaran berkurang sebanyak 3.7 peratus kepada 345,000 unit daripada 358,102 unit tahun lalu.

“Bagaimanapun, permintaan terhadap kenderaan kami kekal sihat dengan tempahan tertunggak semasa kini mencecah 68,000 unit, yang mana 28,000 tempahan mempunyai surat aku janji dikeluarkan tanpa stok,” katanya.

Beliau berkata Perodua akan terus mengutamakan penghantaran kenderaannya dan dalam masa sama mengekalkan standard keselamatan dan kualiti terjaga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top