hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Cheras: Dua anggota polis sanggup menggadaikan nyawa memasuki rumah yang sedang terbakar demi menyelamatkan empat sekeluarga termasuk warga emas yang terperangkap dalam kebakaran di Taman Mas, di sini, 29 Januari lalu.
Koperal Mohamad Zaidi Zainon, 37, dan Konstabel Muhammad Nabil Akmal Zulkifili, 28, anggota Balai Polis Batu 9 Cheras, di sini menyelamatkan keluarga berkenaan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.
Berkongsi cerita, Mohamad Zaidi berkata, dia dan rakan, Muhammad Nabil Akmal yang sedang melakukan rondaan motosikal di sekitar kawasan berkenaan menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.30 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
Menurutnya, maklumat awal diterima memaklumkan terdapat dua warga emas di dalam rumah dan apabila di lokasi mereka mendapati bahagian hadapan kediaman berkenaan sudah terbakar.
Katanya, sementara menunggu pasukan bomba tiba mereka mengambil keputusan untuk menyelamatkan mangsa kerana bimbang keadaan warga emas yang terperangkap dalam rumah.
“Kami tidak boleh masuk melalui pintu hadapan, tanpa berlengah kami ke belakang rumah dan di lokasi juga kami baru tahu ada dua lagi mangsa di dalam rumah. Kami juga basahkan badan (baju) dengan air dahulu dan basahkan kain untuk menutup mulut (dan hidung).
“Keempat-empat mangsa berada dalam dua bilik berasingan dan mangsa pertama kami dapat selamatkan adalah lelaki yang kami pimpinnya keluar,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, hari ini.
Katanya, mereka juga menyelamatkan dua lagi mangsa namun berdepan kesukaran ketika menyelamatkan mangsa terakhir yang terbaring di katil kerana bilik berkenaan berhampiran ruang tamu yang terbakar.
“Ketika itu pasukan bomba sudah tiba dan mereka mengambil alih operasi dengan kami turut membantu,” katanya yang berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 15 tahun lalu dan turut pernah membantu mangsa kebakaran beberapa kali sebelum ini.
Sementara itu, Muhammad Nabil Akmal berkata, sebagai anggota polis sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk sentiasa bersedia memberi bantuan serta mengakui mereka tidak berasa takut masuk ke dalam rumah terbakar itu demi menyelamatkan mangsa.
Mereka juga berdepan cabaran seperti asap tebal, bahang panas dan penglihatan juga terhad, malah Muhammad Nabil Akmal turut mengakui mengalami sesak nafas dan pening, manakala rakan setugasnya, Mohamad Zaidi juga sesak nafas dan berasa mahu pitam.
“Kami nekad dan kuatkan semangat kerana fikir ada mangsa yang perlu diselamatkan. Kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk selamatkan mangsa dan ini pengalaman pertama saya membantu mangsa kebakaran.
“Niat kami ikhlas untuk membantu, bukan mahu meraih pujian. Memang terasa penat ketika itu tetapi selepas melihat semua mangsa selamat kami lega dan sempat bertanya keadaan mereka, ” katanya yang sudah berkhidmat bersama PDRM lebih dua tahun.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abd Yusof turut memuji tindakan pantas dua anggota berkenaan dan berbangga kerana anggotanya membuktikan sentiasa bersedia melaksanakan tugasan di luar bidang tugas selain mengakui ia boleh menjadi contoh kepada anggota lain.
Terdahulu media melaporkan, sambutan Tahun Baharu Cina empat sekeluarga berusia 46 hingga 81 tahun bertukar tragedi apabila kediaman mereka di Taman Mas di sini, musnah terbakar.
Susulan itu, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn serta Ampang dikejarkan ke lokasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd