Kuala Lumpur: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) menyifatkan pelantikan tiga syarikat baharu bagi melaksanakan perkhidmatan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) sebagai persaingan sihat.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM Mahmood Razak Bahman berkata pelantikan itu juga membolehkan syarikat yang terlibat berkongsi tanggungjawab dalam memastikan keselamatan kenderaan selain bertukar pendapat bagi meningkatkan kualiti pemeriksaan kenderaan di Malaysia secara bersama.
“PUSPAKOM menyambut baik pengumuman terkini oleh Kementerian Pengangkutan tentang kemasukan syarikat-syarikat baharu ke dalam sektor pemeriksaan kenderaan.
“Pengumuman ini secara langsung menjadikan industri perkhidmatan pemeriksaan kenderaan menjadi lebih dinamik dan mewujudkan persaingan yang sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai isu integriti, Mahmood Razak menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur terhadap apa jua salah laku dan jenayah rasuah yang melibatkan kakitangan PUSPAKOM dan bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa.
Beliau berkata fokus PUSPAKOM ketika ini adalah untuk meningkatkan standard integriti dalam semua aspek.
Beliau turut menjelaskan, peranan semua pihak amat penting untuk memastikan budaya keselamatan jalan raya dapat dibina dan dipupuk.
“Mentaliti menjalankan pemeriksaan hanya untuk lulus perlu dihapuskan, sebaliknya pemilik kenderaan perlu mempunyai kesedaran bahawa pemeriksaan kenderaan adalah untuk keselamatan diri dan semua pengguna jalan raya.
“Ini merupakan peluang untuk semua pihak berganding bahu bagi memupuk budaya keselamatan jalan raya,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan pelantikan tiga syarikat baharu bagi melaksanakan perkhidmatan sebagai PPKM fasa pertama iaitu Wawasan Bintang Sdn Bhd yang akan beroperasi di Pelabuhan Klang, Selangor, Gua Musang di Kelantan dan Mersing di Johor.
Dua syarikat lagi ialah Pakatan Petroleum Sdn Bhd di Rawang, Selangor dan Temerloh, Pahang serta Beriman Gold Sdn Bhd di Kuching dan Serian, Sarawak.
© New Straits Times Press (M) Bhd