Perodua peruntuk RM1.6 bilion perbelanjaan modal tahun ini

Perodua peruntuk RM1.6 bilion perbelanjaan modal tahun ini

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) memperuntukkan sejumlah RM1.6 bilion bagi perbelanjaan modal tahun ini dengan sebahagian besar pelaburannya dikhaskan untuk penambahbaikan kilang, peningkatan kapasiti tera (stamping) serta pembangunan model baharu dan perkakasan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, jumlah tersebut lebih sekali ganda perbelanjaan modal syarikat itu pada tahun lalu iaitu RM797.5 juta ekoran memberi tumpuan kepada pelaburan semula keupayaan syarikat.

“Pelaburan ini akan menyatukan kapasiti pengeluaran termasuk di peringkat pembekal, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produktiviti.

“Selain itu ia mengukuhkan perancangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk kami serta keupayaan pembangunan model baharu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, Perodua telah melepasi kapasiti pengeluaran dengan 368,100 unit kenderaan dikeluarkan pada 2024, melebihi kapasiti 320,000 bagi kedua-dua kilangnya.

Rekod tersebut dicapai dengan meminimumkan masa henti mengikuti jadual penyelenggaraan, koordinasi dan perancangan dinamik dengan pembekal dan pengedar serta tangkas dalam menangani cabaran.

Mengenai perancangan tahun 2025, Zainal Abidin menjelaskan, tahun ini akan menjadi batu loncatan kepada masa depan Perodua dengan penekanan terhadap kemandirian syarikat itu dari segi keupayaan pengeluaran, terutama dalam pembangunan produk di masa akan datang.

Menurutnya, syarikat itu sedang mempercepatkan keupayaan kakitangan untuk mencapai kemandirian lebih tinggi, namun akan menghasilkan jumlah pengeluaran dan jualan lebih rendah.

“Kami menjangkakan jumlah pengeluaran merosot sebanyak 4.9 peratus kepada 350,000 unit daripada 368,100 unit yang dicatatkan tahun lepas.

“Pengurangan ini akan menyaksikan jumlah pendaftaran berkurang sebanyak 3.7 peratus kepada 345,000 unit daripada 358,102 unit tahun lalu.

“Bagaimanapun, permintaan terhadap kenderaan kami kekal sihat dengan tempahan tertunggak semasa kini mencecah 68,000 unit dengan 28,000 tempahan sudah mempunyai surat aku janji yang dikeluarkan tanpa stok,” jelasnya.

Mengulas mengenai perniagaan selepas jualan Perodua, Zainal Abidin berkata, syarikat kereta kompak itu menyasarkan peningkatan jumlah penyelenggaraan kenderaan kepada 3.7 juta unit, meningkat 7.6 peratus daripada 3.4 juta yang dicatatkan tahun lalu.

Selain itu ujarnya, syarikat tersebut akan bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan keupayaan pembekal dan pengedar agar kekal bersaing secara kompetitif dalam industri.

“Ini termasuk penerokaan potensi Industri 4.0 dalam memaksimumkan keupayaan dalam operasi, mengendalikan latihan dan menyediakan bantuan lain bagi pertumbuhan yang lestari.

“Kami percaya apabila perubahan ini sudah lengkap, kami mampu mengukuhkan kedudukan dalam negara serta rantau ini,” katanya.

Scroll to Top