Suami isteri maut kemalangan ke majlis kenduri

Suami isteri maut kemalangan ke majlis kenduri

KUALA KRAI: Hajat sepasang suami isteri untuk menghadiri majlis kenduri di Machang dekat sini tidak kesampaian apabila kereta yang mereka naiki bersama dua rakan bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 107 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Kampung Sungai Sam, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu, seorang lelaki iaitu pemandu kereta jenis Perodua Axia dan isterinya yang merupakan penumpang depan kereta tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, dua lagi wanita yang berada di tempat duduk penumpang belakang kereta dipercayai rakan kepada pasangan suami isteri itu cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini untuk rawatan.

Katanya, siasatan awal mendapati, kereta dinaiki keempat-empat mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang ke Kuala Krai.

“Pada masa sama, sebuah lori jenis Isuzu yang berada di laluan Kuala Krai – Gua Musang disyaki terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Keadaan itu menyebabkan lori tersebut bertembung dengan kereta dinaiki pasangan suami isteri itu sebelum merempuh sebuah lagi kereta jenis Honda City yang dipandu seorang wanita,” katanya ketika dihubungi.

Mazlan berkata, siasatan awal turut mendapati, keempat-empat mangsa sedang dalam perjalanan untuk menghadiri majlis kenduri di Machang. – UTUSAN

Scroll to Top