hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Subang: Lelaki warga emas berputih mata apabila kerugian RM2.21 juta selepas terpedaya dengan pelaburan kripto tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor menerima laporan berhubung kejadian itu di Subang Jaya membabitkan pesara sektor swasta berusia 70 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berkenalan dengan seorang lelaki warga tempatan di Facebook yang menawarkan pelaburan mata wang kripto pada Oktober tahun lalu.
“Mangsa kemudian dimasukkan ke sebuah group WhatsApp dan dijanjikan keuntungan besar sekiranya menyertai pelaburan itu.
“Mangsa yang berminat dan percaya dengan tawaran itu membuat 18 transaksi ke pelbagai akaun berlainan membabitkan jumlah keseluruhan RM2,210,136,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun katanya, mangsa tidak menerima keuntungan seperti dijanjikan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd