rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 1,500 pembayar zakat dan wakaf bertuah apabila memenangi hadiah lumayan dalam kempen dianjurkan Pusat Pungutan Zakat bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), kelmarin.
Kesemua mereka terpilih sebagai pemenang bagi Kempen 1 Bulan 1 Wakaf, Kempen Jom Potong Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) dan Kempen Year End Zakat (YEZ) yang diadakan sepanjang tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, ia sebagai penghargaan kepada pembayar zakat pada tahun lalu.
Beliau berkata, kempen itu salah satu inisiatif pihaknya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Islam khususnya di Kuala Lumpur mengenai kepentingan menunaikan zakat dan berwakaf, di samping didikan untuk lebih cakna keperluan asnaf yang semakin meningkat.
“Tanpa sokongan dan keprihatinan pembayar zakat mungkin sukar untuk PPZ-MAIWP mencapai kutipan zakat yang ditetapkan.
“Justeru, saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada pembayar zakat kerana menjadi sebahagian daripada kebahagiaan asnaf,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kempen PPZ-MAIWP 2024 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, kelmarin.
Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan, Pengasas MC Corporate Consultants Sdn Bhd, Shakib Samsudin dan Pengarah Urusan Merchant Nine Sdn Bhd, Nik Mohd Hanif Nik Hamid.
Dalam majlis berkenaan, seramai 46 pembayar zakat dan wakaf diraikan sebagai pemenang utama bagi setiap kempen yang diadakan.
Pada majlis sama, PPZ-MAIWP turut menyampaikan Anugerah Pembayar Setia kepada lima pembayar zakat yang menunaikan zakat sejak tahun 1991 sehingga kini.
© New Straits Times Press (M) Bhd