am@mediaprima.com.my
Petaling Jaya: Saksi pendakwaan ke-10 dalam kes pertuduhan pengabaian dihadapi ibu bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menafikan beliau diugut polis semasa prosedur siasatan.
Sebaliknya, pembantu pengurusan murid di sekolah pendidikan khas, Nasimah Abu Bakar, 33, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, walaupun beliau dipanggil lebih lima kali oleh polis bagi memberi keterangan, namun beranggapan perkara itu sebahagian daripada prosedur siasatan.
Terdahulu, saksi itu tidak bersetuju dengan peguam Haresh Mahadevan mencadangkan polis melakukan ugutan terhadap saksi bagi ‘mengenakan’ Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.
Haresh mencadangkan perkara itu selepas mengemukakan tujuh tangkap layar memaparkan perbualan Nasimah dengan datuk saudara Zayn Rayyan dikenali sebagai Zikril Azim di TikTok.
Peguam itu juga mencadangkan Nasimah dipanggil polis lebih lima kali kerana mereka tidak berpuas hati dengan dengan keterangan diberikan wanita itu, namun saksi menegaskan beliau tidak bersetuju dengan cadangan demikian.
Haresh: Masa polis Bukit Aman datang cari saya (Nasimah) … mereka macam nak suruh saya (Nasimah) cakap mak dia (ibu Zayn Rayyan, Ismanira) buat. Dia (polis) macam psiko juga. Mereka (polis) tak boleh terima kalau saya kata mak Zayn baik. Adakah ini ugutan pihak polis semasa siasatan?
Nasimah: Saya tak rasa ia ugutan
Haresh: Ada atau tak polis minta kamu cakap sebegini?
Nasimah: Ya betul
Haresh: Tetapi anda adalah seorang yang jujur, betul?
Nasimah: Betul
Haresh: Anda tak ingin beri keterangan palsu dalam keterangan anda kepada polis?
Nasimah: Betul
Haresh: Itu sebab polis cuba (panggil beri keterangan) lebih lima kali dengan berharap anda tukar dan kenakan Ismanira dan Zaim tapi anda masih jujur?
Nasimah: Betul
Saksi itu berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari kelima prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan.
Ketika Haresh bertanya sama ada Nasimah mengetahui polis melakukan perkara sama kepada saksi lain, Nasimah berkata, beliau diambil keterangan bersama guru pendidikan khas yang juga guru kelas kepada Zayn Rayyan, Siti Aminah Nor Mad Ali.
Haresh: Tetapi anda dan Cikgu Siti Aminah berpegang kepada kejujuran?
Nasimah: Ya
Haresh: Anda tahu kedua-dua tertuduh (Zaim dan Ismanira) di kandang tertuduh hadapi satu pertuduhan yang amat besar?
Nasimah: Betul
Haresh: Bukan sahaja mereka sudah hilang anak mereka, tetapi mereka diheret ke mahkamah hadapi satu pertuduhan di mana pihak polis secara tidak jujur sengaja mengenakan mereka?
Nasimah: Tak betul
Haresh: Semua dokumen (tujuh tangkap layar perbualan di TikTok) saya rujuk kepada anda, adakah anda setuju tangkap layar percakapan anda dengan Zikril Azim?
Nasimah: Betul
Bagaimanapun, wanita itu berkata, beliau tidak ingat nama, pangkat mahupun muka pegawai polis yang mengambil keterangannya sebelum ini.
Nasimah juga bersetuju dengan Haresh yang mencadangkan Ismanira seorang ibu yang bertanggungjawab serta prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan Zayn Rayyan.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung pada 17 Februari depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd