ORANG yang dituduh melakukan suatu kesalahan jenayah dikenali sebagai orang kena tuduh (OKT) dalam takrifan undang-undang.
Dalam hal ini, pengakuan salah bukan perkara yang sukar dilafazkan oleh OKT semasa prosiding jenayah dijalankan sama ada di Mahkamah Syariah mahupun Mahkamah Sivil.
Lazimnya, terdapat pelbagai faktor yang mendorong OKT untuk berbuat demikian, antaranya dia mengaku salah kerana tidak mahu berhadapan perbicaraan ataupun masalah kewangan bagi membayar kos guaman yang meningkat jika kes berpanjangan.
Sehubungan itu, jawapan OKT iaitu ‘saya mengaku salah’ tidak boleh diterima sewenang-wenangnya sebagai sandaran untuk mensabitkan tertuduh di atas pertuduhan melakukan suatu jenayah syariah.
Faham pertuduhan yang dikenakan
Perbicaraan kes akan dimulakan setelah waran tangkap atau saman telah sempurna dan OKT hadir di mahkamah.
Lazimnya, prosiding mahkamah akan dimulakan dengan memanggil nama OKT sebelum pertuduhan dibaca dan diterangkan kepadanya.
Pertuduhan dibaca dan dijelaskan kepada OKT agar dia memahami dengan jelas tentang tuduhan kesalahan yang dibuat terhadapnya.
Tertuduh juga boleh mendapatkan perkhidmatan penterjemah bertauliah jika tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan Malaysia, selain menggunakan jurubahasa isyarat bertauliah bagi OKT dalam kalangan orang kurang upaya pekak dan bisu.
![SESETENGAH OKT tidak mahu berhadapan dengan perbicaraan yang panjang dan kekangan kewangan menyebabkan mereka terus membuat pengakuan bersalah. Foto CANVA](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/02/07/2997775.jpg)
SESETENGAH OKT tidak mahu berhadapan dengan perbicaraan yang panjang dan kekangan kewangan menyebabkan mereka terus membuat pengakuan bersalah. Foto CANVA
Lantaran itu, OKT harus peka dengan kemudahan yang boleh diperolehnya dalam menghadapi suatu prosiding jenayah dan tidak seharusnya membuat keputusan untuk mengaku salah secara terburu-buru.
Lazimnya, suatu pertuduhan mengandungi perkara berikut:
1 – Masa dan tempat berlakunya kesalahan jenayah syariah.
2 – Nama kesalahan yang dinyatakan dalam suatu undang-undang (misalnya dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah).
3 – Undang-undang dan seksyen kesalahan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.
4 – Nama orang (jika melibatkan individu yang terkena kesalahan yang dinamakan).
5 – Butir-butir kesalahan yang dituduh (seperti cara tertuduh melakukan suatu kesalahan).
Setelah OKT didapati benar-benar menunjukkan kefahaman sepenuhnya tentang pertuduhan yang dibacakan kepadanya, barulah mahkamah akan memberi pilihan kepadanya sama ada untuk mengaku salah atau mengaku tidak salah dan meminta untuk dibicarakan.
Prosedur mahkamah terpakai jika mahkamah berpuas hati dengan pengakuan salah yang dibuat oleh OKT.
Pengakuan salah yang disebut sebagai ikrar merujuk kepada pengakuan dibuat oleh OKT tentang semua fakta yang dibentangkan di hadapannya.
Justeru, mahkamah akan memastikan OKT membuat pengakuan salah secara sukarela dan faham kesan pengakuan salah.
Seterusnya, mahkamah akan mengarahkan pendakwa syarie untuk membentangkan fakta kes secara lebih perinci.
Lazimnya, dalam kes OKT mengaku salah, pendakwa syarie akan melakukan perkara berikut mengikut kronologi iaitu:
1 – Membentangkan fakta kes dan eksibit (barang kes) berkaitan dengan pertuduhan.
2 – Memohon fakta kes diterima.
3 – Memohon OKT disabitkan.
4 – Membuat hujah dan mencadangkan pemberatan hukuman atau apa-apa cadangan lain yang suai manfaat.
Mahkamah akan memastikan OKT memahami fakta kes yang dibentangkan oleh pendakwa syarie.
Ia dilakukan dengan mengemukakan pertanyaan kepada OKT sama ada dia bersetuju dan menerima semua fakta kes yang dibentangkan oleh pendakwa syarie tanpa syarat dan tanpa keraguan dalam jawapannya.
Jika OKT bersetuju dengan fakta kes yang dibentangkan oleh pendakwa syarie, OKT akan disabitkan dengan pertuduhan yang dikenakan.
![MAHKAMAH akan meneliti semua perkara termasuk pertuduhan, pengakuan tertuduh, bukti dan keterangan saksi sebelum membuat keputusan. Foto CANVA](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/02/07/2997776.jpg)
MAHKAMAH akan meneliti semua perkara termasuk pertuduhan, pengakuan tertuduh, bukti dan keterangan saksi sebelum membuat keputusan. Foto CANVA
Seterusnya, hakim akan mendengar rayuan (mitigasi) daripada OKT sebelum beliau menjatuhkan hukuman.
OKT ubah niat, mengaku tidak salah
Jika OKT tidak bersetuju dengan fakta kes yang dibentangkan, dia berhak mengubah niat daripada mengaku salah kepada mengaku tidak salah dan seterusnya memohon mahkamah untuk membicarakan kesnya.
Dalam hal ini, mahkamah akan menolak pengakuan salahnya yang terdahulu dan mengarahkan kes dibicarakan.
Dalam situasi ini, mahkamah akan mendengar keterangan yang dikemukakan oleh pendakwa syarie bagi menyokong kes tersebut.
Lazimnya, dalam kes OKT mengaku tidak salah, pendakwa syarie akan melakukan perkara berikut mengikut kronologi iaitu:
1 – Memohon penangguhan kes.
2 – Memohon OKT dilepaskan dengan jaminan atau ditahan dalam jagaan pihak berkuasa.
3 – Membuat catatan tentang tarikh dan masa penangguhan untuk perbicaraan kes.
4 – Memohon sepina dikeluarkan oleh mahkamah kepada saksi-saksi pendakwa.
Pengakuan salah dalam sejarah Islam
Sejarah Islam mencatatkan pengakuan salah bukan hanya berkaitan dengan penerimaan hukuman tetapi juga melibatkan pertimbangan hikmah dan keadilan yang menyeluruh.
Sebagai contoh, terdapat kisah seorang perempuan daripada suku Juhainah yang mengaku berzina di hadapan Rasulullah SAW.
Perempuan tersebut berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah melakukan dosa zina, maka sucikanlah (hukumlah) aku.”
Rasulullah SAW tidak terus menghukumnya, tetapi bersabda: “Pulanglah sehingga kamu melahirkan anakmu.”
Setelah melahirkan, dia kembali dan meminta hukuman dijalankan tetapi Rasulullah SAW tetap bersabda: “Pulanglah sehingga kamu menyusuinya dan anak itu berhenti menyusu.” Setelah anak itu tidak lagi menyusu badan, barulah hukuman dilaksanakan kepadanya. (Hadis Riwayat Muslim)
Peristiwa itu menunjukkan meskipun pengakuan salah adalah bukti yang cukup untuk mensabitkan kesalahan, keadilan dalam hukum syariah menuntut pertimbangan terhadap kesan pelaksanaan hukuman.
Secara kesimpulannya, OKT harus benar-benar memahami tentang pertuduhan yang dikenakan ke atasnya dan akibat daripada perbuatan mengaku salah.
OKT yang memilih untuk ‘mengaku tidak salah’ tidak harus berasa ragu-ragu untuk memaklumkan perkara itu kepada mahkamah kerana mahkamah akan membenarkan OKT untuk dibicarakan dan memberinya hak bagi membela diri.
***DR NORMAN ZAKIYY merupakan Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang. Universiti Sains Islam Malaysia
DR HASHIM AHMAD SHIYUTI merupakan Pensyarah Pusat Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia