am@hmetro.com.my
Lipis: Pembukaan kilang peluru peluru automasi tinggi pertama dalam negara milik Ketech Asia Sdn Bhd (Ketech Asia), di Padang Tengku, dekat sini, membuka kira-kira 200 peluang pekerjaan dan jumlah itu bakal meningkat kepada 300, berdasarkan keperluan.
Ketua Umno Bahagian Lipis Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pengoperasian kilang berkenaan turut merancakkan pertumbuhan ekonomi kawasan sekitar.
“Kilang ini memberi peluang kepada tenaga kerja mahir dalam kalangan masyarakat tempatan untuk bekerja.
“Ia turut memberi limpahan ekonomi kepada kawasan sekitar,” katanya, hari ini.
Pekerja kilang berkenaan, Nik Muhammad Naim Nik Ahamad Shukri, 34, berkata, sebelum ini, dia bekerja di sebuah kilang papan sebelum memohon kerja di Ketech Asia.
Anak jati Kampung Tanjung Jambu itu berkata, dia bersyukur dengan pembukaan kilang berkenaan kerana ia memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat di kawasan sekitar.
“Kilang ini memberi peluang pekerjaan kepada kira-kira 70 peratus anak jati Lipis dan sekitarnya selain menjana ekonomi penduduk tempatan.
“Saya sendiri sudah tiga kali diberi peluang mengikuti latihan di Ankara, Turkiye dan sekali di Cyprus bagi meningkatkan kemahiran menjalankan tugasan sebagai operator pengeluaran di Ketech Asia,” katanya.
Bagi anak kelahiran Kampung Bapong, Muhammad Nor Salbunie Abdul Majid, 26, dia bersyukur kerana kini dapat menabur bakti di kampungnya.
“Sebelum ini, saya bekerja di sebuah kilang di Pekan dan sebaik mengetahui kilang ini dibuka, saya terus membuat permohonan kerja.
“Alhamdulillah, permohonan saya diterima dan pembukaan kilang ini memberi peluang anak muda tempatan untuk mencari rezeki di sini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd