Roslan Salleh meninggal dunia ketika tidur

Roslan Salleh meninggal dunia ketika tidur

ALOR GAJAH: Pelakon veteran, Roslan Salleh, 69, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah di sini kira-kira pukul 7.00 pagi tadi.

Isteri Allahyarham, Zainon Majid, 61, berkata, ketika mengejutkan suaminya daripada tidur untuk bersarapan, arwah tidak memberi sebarang reaksi.

“Puas saya kejutkan suami dia tidak bangun-bangun dan saya rasa nadi dan nafasnya pun tidak ada apa. Saya terus kejutkan anak dan cucu yang kebetulan ada di rumah cuti sekolah. Saya reda pemergian suami saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambah Zainon, perubahan pada suaminya berlaku sejak tiga hari lalu apabila mata Allahyarham terbuka seolah-olah memandang sesuatu.

Menurutnya, sejak semalam Roslan mengalami demam hingga menyebabkan beliau tidak berselera makan.

Katanya, jenazah dibawa ke Masjid Ar-Rahman Kampung Rantau Panjang untuk dimandikan dan dikafankan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang selepas solat Jumaat.

“Suami hanya sempat jamah dua dan tiga suap dan lepas itu dia diam tidak cakap apa-apa,” ujarnya.

Roslan pernah membintangi banyak drama dan filem popular antaranya Sembilu 2, Gerak Khas The Movie 2, Munafik 2, Anak Perjanjian Syaitan dan Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.

Bagaimanapun, beliau tidak lagi aktif dalam dunia lakonan selepas mengalami masalah kencing manis dan tekanan darah rendah sejak lapan tahun lalu.

Roslan kemudian meneruskan perniagaan keluarganya iaitu Daging Dendeng Pak Lan yang dijual secara kecil-kecilan di sekitar Alor Gajah. – UTUSAN

Scroll to Top