SELAGI mana ayat pertama surah al-Isra’ kekal dalam al-Quran, selama itulah Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin perlu dipasakkan ke dalam dada umat Islam walau di mana sahaja mereka berada.
Pengarah Aid4Palestine, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah menegaskan, masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam itu menjadi amanah ALLAH SWT yang perlu dijaga dan pelihara hingga ke hari kiamat.
Beliau menegaskan, perjuangan membebaskannya bukannya pilihan tetapi merupakan satu kewajipan.
“Begitu dekatnya Masjid al-Aqsa dengan kita dan sentiasa berada dalam sanubari umat Islam meskipun jauh dari bumi Palestin.
“Seperkara lagi, kita kena ingat penderitaan yang dialami oleh saudara seagama kita di Palestin yang telah diusir keluar dari perkampungan halaman mereka sendiri.
“Sudahlah perkampungan mereka dirampas dan diambil, dibuat pula penempatan pendatang-pendatang haram Israel-Yahudi dalam tempoh yang sangat lama,” katanya.
Sejak pendudukan haram Israel ke atas bumi Palestin, ujarnya, jutaan rakyat Palestin menjadi pelarian di negara-negara jiran seperti di Lubnan, Syria dan Jordan.
![SELAGI mana ayat pertama surah al-Isra’ kekal dalam al-Quran, selama itulah Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin perlu dipasakkan ke dalam dada umat Islam walau di mana sahaja mereka berada. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/02/07/2997581.jpg)
SELAGI mana ayat pertama surah al-Isra’ kekal dalam al-Quran, selama itulah Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin perlu dipasakkan ke dalam dada umat Islam walau di mana sahaja mereka berada. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Di Lubnan misalnya di kem pelarian Shatila dan Subra yang menempatkan ribuan pelarian Palestin, beliau yang pernah menziarahi kem-kem itu menjelaskan, mereka hidup dalam keadaan serba daif dan menyedihkan.
“Bayangkan pelarian Syria yang baru 14 tahun meninggalkan negara mereka sudah mula kembali ke tanah air mereka tetapi pelarian Palestin pula sebaliknya.
“Mereka sudah berpuluh-puluh tahun menjadi pelarian tetapi masih tidak boleh kembali ke tanah kelahiran mereka. Ini bukan sekadar kezaliman tetapi juga penghapusan identiti dan hak mereka sebagai manusia,” terangnya.
Dalam pada itu, Ustaz Mohd Yusni mengingatkan, isu Palestin bukan sekadar sebuah negara yang bergelut dengan konflik tetapi ia merupakan simboh keteguhan iman dan perjuangan umat Islam dalam mempertahankan hak serta maruah mereka.
“Ia tidak sama dengan negara-negara lain seperti konflik perang dan berlaku bencana yang mana kita boleh sampai ke Indonesia misalnya (untuk membantu).
“Di Palestin, pintu bantuannya sering kali disekat, malah ambulans yang ingin dibawa masuk juga ditahan di sempadan,” ujarnya yang kerap menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.
Justeru, Ustaz Mohd Yusni mengingatkan agar kita terus memperjuangkan hak umat Islam untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa dan ia mesti menjadi keutamaan untuk kita sama-sama membantu.
“Jangan sesekali kita lupakan Palestin dan Masjid al-Aqsa. Saat kita melupakannya, bermakna jauhnya kita dengan ALLAH SWT, sedangkan DIA ‘ikat’ kita (dengan Masjid al-Aqsa dalam al-Quran).
“Ditakuti kita tidak masuk ke dalam orang yang akan diberi kemuliaan oleh ALLAH SWT untuk memperjuangkan dan membebaskan bumi yang diberi keberkatan oleh-Nya,” titipnya.