PETALING JAYA: Pelakon, Ruhainies, sedang mempertimbangkan keputusan untuk menjalin hubungan cinta dengan aktor asal Singapura, Aliff Aziz.
Dilihat rajin berbalas komen di Instagram, Ruhainies atau Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, bagaimanapun tidak menafikan hubungan mereka baik dan saling mengirimkan kata-kata semangat.
“Belum lagi (bercinta). Saya fikir dulu.
“Hubungan kami baik. Selalu beri dorongan dan nasihat daripada banyak perkara yang kami lakukan,” tulisnya di komen Instagram.
Ruhainies berkata demikian ketika menjawab soalan peminat yang bertanya adakah dia dan Aliff sudah menjali hubungan cinta.
Bagaimanapun, terdapat pihak yang enggan melihat pelakon Terjerat itu menjadikan Aliff sebagai kekasih kerana dilihat kurang berjaya berbanding Ruhainies.
“Semua rezeki kita Allah yang beri, termasuk saya. Cuma kita kena usahalah.
“Mari doakan supaya Aliff pun berjaya suatu hari nanti. Kita tidak tahu akan datang dia macam mana.
“Doakan untuk dia dan kita semua,” tambahnya lagi.
Terdahulu Ruhainies dan Aliff Aziz mencuri tumpuan apabila ditangkap khalwat di sebuah kondomonium mewah pada 9 Mac 2024.
Kedua-dua pelakon tersebut bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dalam prosiding yang berlangsung pada 3 Julai 2024.
Kes itu masih dalam perbicaraan di mahkamah dan bakal bersambung pada 20 dan 27 Februari depan.