Pelakon Beego berkata dia sudah meminta maaf serta memujuk isterinya, Linda Hashim supaya membatalkan hasrat untuk bercerai.
Memetik BH Online, Beego berkata dirinya bukan malaikat dan ada melakukan kesilapan namun dia mahu mempertahankan rumah tangga mereka.
Beego berkata demikian berhubung dakwaan mengasari Linda dan berlaku curang sehingga isterinya nekad bercerai buat kali ketiga.
BACA: Beego Terkejut, Tak Tahu Ada Sebutan Kes Cerai
“Setiap pasangan ada kesilapan. Saya tak mahu ulas lanjut kerana saya juga ada silap. Saya bukan malaikat dan isteri saya bukan bidadari. Saya sangat mencintainya dan mahu mempertahankan perkahwinan ini kerana anak-anak.
“Saya sudah berusaha memujuknya supaya membatalkan hasrat bercerai. Selain masih sayang, usaha ini juga dibuat demi anak-anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian ibu bapa,” katanya.
Dalam pada itu, Beego mengakui dia tahu niat isterinya mahu bercerai, namun tidak menyangka tarikh sebutan pertama berlangsung hari ini kerana tidak menerima sebarang notis seperti didakwa.
“Saya hanya memberi ruang untuknya mencari ketenangan, tetapi tak sangka dia ke mahkamah dan meneruskan proses perceraian.
“Kalau ikutkan hukum, saya sepatutnya keluar rumah. Tetapi, saya sendiri membenarkan Linda keluar bersama anak-anak demi mendapatkan ketenangan,” katanya.
Sementara itu, Beego menafikan rumah tangganya berantakan kerana wang kerana dia masih mempunyai pekerjaan lain selain berlakon.
“Pendapatan saya stabil, tetapi tidaklah begitu mewah. Mungkin kesibukan kerja membuatkan Linda terasa kurang mendapat perhatian,” katanya.
SUMBER: BH Online