Ribuan kakitangan USAID diarah bercuti

Ribuan kakitangan USAID diarah bercuti

WASHINGTON: Ribuan kakitangan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) akan diarahkan bercuti bermula malam Jumaat ini, menurut kenyataan agensi tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman web rasminya, USAID memaklumkan arahan tersebut melibatkan semua kakitangan lantikan terus, kecuali mereka yang terlibat dalam fungsi kritikal misi, kepimpinan teras dan program khas yang ditetapkan.

Bagaimanapun, agensi tersebut tidak memperincikan jawatan mana yang terlibat manakala kakitangan dijangka menerima makluman rasmi selewat-lewatnya petang Khamis.

Pentadbiran Presiden, Donald Trump sebelum ini menuduh USAID membazirkan dana dan perlu diselaraskan dengan keutamaan dasar presiden.

Tindakan tersebut mendapat bantahan daripada kakitangan agensi dan ahli politik Demokrat yang menyatakan ia akan mengancam nyawa dan keselamatan negara.

Keputusan Trump sebelum ini untuk membekukan bantuan asing menggugat sistem bantuan global dengan kesannya sudah mula dirasai di pelbagai negara.

USAID, yang ditubuhkan pada 1961, menyediakan bantuan kemanusiaan kepada lebih 100 negara dan menggaji 10,000 kakitangan di seluruh dunia, dengan dua pertiga daripadanya bekerja di luar negara.

Agensi tersebut mempunyai bajet sekitar AS$40 bilion (RM177.45 bilion) setahun, iaitu kira-kira 0.6 peratus daripada perbelanjaan persekutuan AS.

Dalam kenyataan terbaharu, USAID memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Negara AS untuk mengatur dan membiayai perjalanan pulang kakitangan yang bertugas di luar negara dalam tempoh 30 hari.

Kakitangan yang terkecuali daripada arahan cuti akan dimaklumkan sebelum pukul 3 petang (waktu tempatan) namun, masih belum jelas bagaimana proses penarikan balik kakitangan yang bertugas di zon konflik aktif akan dilaksanakan.

Langkah ini adalah sebahagian daripada siri pemotongan yang dilakukan Trump sejak kembali memegang jawatan bulan lalu dengan kerjasama Jabatan Kecekapan Kerajaan tidak rasmi yang diketuai oleh Jutawan terkenal, Elon Musk.

Antara negara yang terjejas akibat pembekuan bantuan itu termasuk Haiti, Serbia dan Vietnam.

Ramai pihak memberi amaran penutupan USAID akan memberi kesan buruk kepada populasi rentan di seluruh dunia di mana aktiviti badan itu merangkumi penyediaan anggota palsu kepada askar yang cedera di Ukraine, membersihkan periuk api dan mengawal penularan Ebola di Afrika. -AGENSI

Scroll to Top