Conceicao puji impak Felix, Gimenez dan Walker

Conceicao puji impak Felix, Gimenez dan Walker

Milan: Pengendali AC Milan, Sergio Conceicao, menyatakan bahawa kehadiran pemain baharu, Joao Felix, Santiago Gimenez dan Kyle Walker, membantunya menerapkan gaya permainan yang diinginkan dalam pasukan.

Dua pemain yang dibawa masuk pada hari terakhir jendela perpindahan Januari, Felix dan Gimenez, tampil dari bangku simpanan dan bergabung untuk menjaringkan gol ketiga dalam kemenangan 3-1 Milan ke atas AS Roma dalam aksi suku akhir Piala Itali, sementara Walker bermula dalam kesebelasan utama.

Ketika ditanya sama ada Milan memiliki persamaan dengan pasukan Porto yang pernah dibimbingnya sehingga menjuarai tiga gelaran liga, empat Piala Portugal, satu Piala Liga dan tiga Piala Super, Conceicao berkata: “Saya belum melihat persamaan dengan Porto.

“Tetapi kami sedang berusaha untuk menjadi lebih padat, lebih agresif, dan tidak membenarkan lawan masuk ke kawasan pertahanan kami dengan mudah.

“Kami masih belum sampai ke tahap itu, tetapi dengan pemain yang tiba dalam jendela perpindahan ini, ciri-ciri mereka memberi saya keyakinan untuk membentuk gaya permainan yang saya mahukan, termasuk bermain dengan dua penyerang serta keseimbangan yang tepat, bukan sekadar menjaringkan gol, tetapi juga mengelak daripada dibolosi.”

Conceicao, yang mengambil alih Milan pada Disember lalu, turut memuji keupayaan pemainnya untuk memahami falsafah permainan dalam masa yang singkat.

“Kami cuba menyampaikan kepada pasukan apa yang kami mahukan, tetapi kami hanya mempunyai satu sesi latihan untuk bersiap sedia menghadapi perlawanan ini. Saya tidak mempunyai masa untuk bekerja secara mendalam di padang latihan kerana kami beraksi setiap tiga hari.

“Namun begitu, para pemain menerimanya dengan baik, mereka bijak dan saya gembira hari ini, terutama kerana gol kedua hadir hasil daripada pemulihan bola yang pantas di bahagian tengah. Itu sesuatu yang kami usahakan, jadi saya berpuas hati.

“Joao dan Santiago juga hanya menjalani satu sesi latihan, tetapi mereka segera memahami apa yang diperlukan, membuktikan kecerdasan mereka,” tambahnya.

Milan, yang kini menghuni tangga kelapan Serie A, bakal bertandang ke markas Empoli yang berada di kedudukan ke-16 pada Sabtu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top