KL City tumbang, kesemua wakil negara 'bungkus' awal

KL City tumbang, kesemua wakil negara 'bungkus' awal

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keajaiban diimpikan Kuala Lumpur City FC (KL City) untuk mengejutkan gergasi Liga Thailand, Buriram United tidak kesampaian apabila tumbang 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B Kejuaraan Kelab Asean di Chang Arena, di Buriram, malam tadi.

Kekalahan itu juga menyaksikan tiada satu wakil Malaysia melepasi peringkat kumpulan Kejuaraan Kelab Asean bagi merebut Piala Shopee selepas semalam Terengganu FC turut tumbang di tangan satu lagi kelab Thailand, BG Pathum United dari Kumpulan A.

KL City wajib memburu kemenangan untuk membuka peluang mara ke peringkat separuh akhir namun kehilangan enam tonggak utama yang digantung perlawanan dan cedera nyata merencatkan perancangan pasukan.

Pengendali The City Boys, Miroslav Kuljanac terpaksa memilih taktikal bertahan dengan sesekali melancarkan serangan balas ke kubu tuan rumah.

Hampir 70 peratus penguasaan bola memihak skuad kendalian Osmar Loss dengan benteng pertahanan KL City cukup ampuh bertahan.

Namun gawang naib juara Piala AFC 2022 itu akhirnya bolos juga pada minit ke-37.

Gol itu tercetus hasil gerakan arkitek tuan rumah, Theerathon Bunmathan yang bijak melorongkan bola ke arah pemain import dari Brazil, Lucas Crispim yang mudah menolak masuk untuk gol pertama.

Bersambung babak kedua, KL City meningkatkan ‘gear’ permainan dan hampir menyamakan kedudukan tetapi tolakan Patrick Reichelt sedikit lemah pada minit 47.

Tuan rumah yang diberi jolokan skuad Thunder Castle berpeluang menambah gol kedua di minit 63 menerusi rembatan Guilherme Bissoli namun percubannya sedikit tersasar.

Lima minit kemudian pemain sayap KL City, Sharvin Selvakumaran mudah dihalang pertahanan tuan rumah Ketika di depannya memiliki ruang cukup besar untuk menghadirkan bahaya.

Pada minit 70, penjaga gol KL City, Hafizul Hakim bertindak cemerlang apabila dua kali menghalang percubaan penyerang lawan sekali gus melegakan kem pelawat.

Kelebihan satu gol itu kekal hingga wisel penamat dan harapan KL City untuk melangkah jauh dalam saingan itu musnah.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top