Baju raya kartun 'rekaan' Amirul Nizam

Baju raya kartun 'rekaan' Amirul Nizam

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Meskipun lebih sebulan lagi umat Islam dijangka menyambut Aidilfitri, bahangnya sudah mula terasa terutama apabila pelbagai promosi baju raya mula disiarkan di media sosial.

Ia termasuk rekaan baju Melayu dan kurung bermotifkan kartun yang tular di TikTok, antaranya motif Barbie dan Sailormoon yang digayakan model wanita, manakala lelaki dalam persalinan baju Melayu bermotifkan Son Goku, karakter utama siri kartun Dragon Ball.

Gambar itu dimuat naik Amirul Nizam Ali Mahmud, 31, dan dia tidak menyangka perkongsiannya tular sehingga meraih lebih 3.4 juta tontonan.

Amirul Nizam dari Sentul di sini mengaku dia bukan tukang jahit, jauh sekali bergelar pereka fesyen, sebaliknya bekerja sebagai pelukis pelan dan gambar dimuat naik itu dihasilkan menggunakan aplikasi berteknologi kecerdasan buatan (AI).

“Gambar itu disunting di telefon bimbit saja menggunakan aplikasi ChatGPT dan ImageFX. Setiap satunya (gambar) mengambil masa 30 minit untuk dihasilkan.

“Idea itu tercetus selepas terfikir bagaimana jika karakter macam Barbie, Sailormoon dan Son Goku menjadi motif dalam rekaan baju Melayu atau baju kurung.

“Saya pilih karakter Barbie kerana ramai perempuan sukakannya begitu juga dengan Sailormoon dan Son Goku yang popular di era 90an, jadi saja nak menggamit kenangan khususnya dalam kalangan peminat kartun itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Amirul Nizam, gambar itu dihasilkan tiga hari lalu sebelum dimuat naik kelmarin, sekadar untuk hiburan semata-mata.

“Terkejut kerana dalam masa sehari gambar dimuat naik itu meraih sejuta tontonan dan setakat ini lebih tiga juta.

“Macam tak percaya juga kerana ada yang ‘DM’ (hantar kiriman mesej) beritahu anak mereka menangis kerana nak sangat baju Barbie.

“Tapi ada juga kata macam baju tidur selain komen negatif dan hantar mesej memaki hamun dengan mengatakan rekaan pakaian itu melanggar tradisi,” katanya.

Bagaimanapun, Amirul Nizam tidak berkecil hati sebaliknya terima kecaman itu kerana faham ramai yang tidak suka baju raya tersasar daripada elemen tradisional.

“Saya hasilkan gambar itu memang untuk suka-suka saja dan tak ada perancangan nak hasilkan atau jual baju raya macam itu pun.

“Jadi terima kasih buat yang beri maklum balas kerana buat saya rasa terhibur apabila membaca komen dan mesej.

“Mana yang tak suka saya, mohon maaf kerana gambar itu sekadar hiburan semata-mata dan bukannya realiti,” katanya.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top