Dua lagi suspek ditahan, kes langgar lari di Jalan Klang Lama

Dua lagi suspek ditahan, kes langgar lari di Jalan Klang Lama

Kuala Lumpur: Polis menahan dua lagi individu yang disyaki terbabit dalam kejadian langgar lari melibatkan dua kenderaan yang dipandu secara melulu di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini, pada 29 Jan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, dua lelaki berusia 18 dan 26 tahun itu ditahan dalam operasi yang diadakan dari 12 tengah malam hingga 2 pagi tadi di sekitar Kuala Lumpur.

“Reman terhadap kedua-dua individu terbabit diperoleh lima hari hingga 10 Feb bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media pada Program Pemerkasaan Penguatkuasaan Undang-Undang Wanita bertemakan Kecantikan, Kekuatan dan Kecemerlangan MADANI 2025 di Institut Latihan DBKL, Cheras, di sini hari ini.

Turut hadir Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Sebelum ini media melaporkan lima individu ditahan dan tiga lagi dikesan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara kumpulan suspek dan kumpulan mangsa semasa berhibur di sebuah kelab berhampiran.

Video memaparkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Toyota Vios dipandu secara melulu keluar dari tempat letak kereta di sebuah bangunan dan melalui jalan di hadapan pusat hiburan terbabit lalu melanggar sekumpulan lelaki yang mengakibatkan dua orang cedera, tular di media sosial.

Dalam perkembangan berasingan, Rusdi berkata, kertas siasatan berkaitan penganjuran Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah di hadapan sebuah pusat beli-belah terkemuka di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 25 Jan lepas, sedang dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya telah merakam keterangan 10 individu melibatkan tujuh pelajar universiti, seorang pekerja biasa dan dua orang daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung penganjuran himpunan terbabit.

Terdahulu, pada Program Pemerkasaan Penguatkuasaan Undang-Undang Wanita, Maimunah berkata, program yang julung kali diadakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia itu disertai 1,350 pegawai dan anggota wanita daripada 21 agensi penguat kuasa.

“Kita mahukan program ini menjadi platform kepada pegawai dan anggota penguat kuasa wanita bertukar pendapat dan memberi motivasi sesama mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top