GOMBAK: Polis giat mengesan individu di sebalik sebuah blog yang didakwa menyebarkan fitnah serta tohmahan terhadap bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan masih berjalan dan pihaknya telah merakam percakapan dua Timbalan Naib Canselor UKM bagi membantu siasatan.
“Buat masa ini, kita (polis) masih menunggu masa yang sesuai untuk merakam percakapan bekas Naib Canselor (Mohd. Ekhwan).
“Siasatan masih diteruskan, termasuk mengesan pemilik blog yang memuat naik kandungan berunsur fitnah itu,” katanya pada sidang akhbar Ops Palu sempena Thaipusam, di sini hari ini.
Isnin lalu, Mohd. Ekhwan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Canselor UKM yang berkuat kuasa Ahad.
Beliau juga memaklumkan laporan polis serta aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat berhubung dakwaan fitnah yang mengaitkan dirinya.
Sebelum ini, wujud dakwaan bahawa laporan audit universiti berkenaan mendedahkan wujud salah guna kuasa dan penyelewengan dalam proses perolehan, yang dikaitkan dengan Mohd. Ekhwan.
Bagaimanapun, bekas Naib Canselor itu menafikan tuduhan berkenaan dan menegaskan bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya.-UTUSAN