Kuala Lumpur: Perkembangan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta akan diketahui minggu ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, siasatan dalaman yang dilaksanakan oleh dua jawatankuasa iaitu jawatankuasa penyiasatan teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Eksekutif dan jawatankuasa pemandu yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.
Beliau berkata, siasatan tersebut menjurus kepada mendapatkan maklum balas daripada pegawai yang terlibat dalam proses pemberian tender antara tahun 2023 hingga awal 2024.
“Kita membuat siasatan berkaitan tatakelola dan proses (perolehan) yang melibatkan (jabatan) perolehan, kewangan, dan korporat… kita minta mereka memberi maklum balas.
“Kita lihat dulu apa perkembangan dalam minggu ini kerana siasatan DBKL dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berjalan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pemerkasaan ‘Women Law Enforcement’ bertemakan Beauty, Strength and Excellence MADANI 2025 di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan DBKL, Cheras, hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa.
Mengulas lanjut, Maimunah berkata, sekiranya siasatan mendapati terdapat kelompongan dalam proses perolehan tersebut, pihaknya akan memperketatkan lagi proses tatakelola dalam DBKL.
Beliau berkata, setakat ini tiada ahli lembaga yang dipanggil bagi membantu siasatan.
Hari ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya sedang meneliti dokumen yang diberikan DBKL berkaitan dakwaan terbabit dengan mengkaji maklumat mengenai dua isu, iaitu sama ada berlaku isu jenayah di bawah Akta SPRM 2009 dan isu tadbir urus.
Sebelum ini, media melaporkan DBKL mengadakan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang juga penerbit dan pengarah filem, yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Dakwaan tersebut membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL yang tidak diberikan melalui tender terbuka.
© New Straits Times Press (M) Bhd