Keperitan hidup Jani, keluarga dapat perhatian Perdana Menteri

Keperitan hidup Jani, keluarga dapat perhatian Perdana Menteri

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kesengsaraan hidup Jani Yusof, 62, dari Kampung Darat, Batu Rakit yang memberi keluarganya makanan sudah tamat tempoh mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jani yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal dan isterinya, Maznah Abu Bakar, 43, mencari makanan atau barangan yang dibuang untuk kegunaan mereka dan dua anaknya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Md Asyraf Zulfadhly Md Zainuddin berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Politik Anwar iaitu Muhammad Kamil Abdul Munim berhubung perkara itu.

Menurutnya, dua anak pasangan itu, Muhammad Aqil Azhari, 8, dan Muhammad Syahrin Izzudin, 7, akan dijadikan keluarga angkat kepada AMK negeri.

“Kita berpendapat pendidikan dan peralatan sekolah Muhammad Aqil Azhari, dan Muhammad Syahrin Izzudin, yang belajar di tahun satu dan dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Mengabang Telipot perlu diberi perhatian.

“Kita akan memantau keluarga Jani dan berusaha bagi meringankan beban kehidupannya sekeluarga termasuk membabitkan rumahnya yang sudah uzur,” katanya yang turut menghulurkan bantuan tunai dan barangan dapur kepada keluarga itu.

Md Asyraf Zulfadhly mewakili Muhammad Kamil menyantuni Jani dan keluarga di Kampung Darat Batu Rakit, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Urusetia Dewan Undangan negeri (DUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Jani dan keluarganya menggunakan makanan tamat tempoh yang dibuang menjadi ‘penyambung nyawa’ untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Menurut Jani sejak kesusahan mereka sekeluarga disiarkan, ada pihak tampil dan menawarkan bantuan.

Sementara itu, kesusahan keluarga itu turut mendapat simpati Persatuan Hawker Centre (PHC) negeri apabila membawa Muhammad Aqil Azhari dan Muhammad Syahrin Izzudin membeli pakaian seragam sekolah di sebuah pasar raya di Gong Badak.

Pengerusi PHC, Lim Chiew Sieng berkata, pihaknya juga akan berusaha mendapatkan bantuan barangan keperluan asas kepada keluarga Jani.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top