Amarjit presiden baharu Konfederasi Berbasikal Asia

Amarjit presiden baharu Konfederasi Berbasikal Asia
Amarjit presiden baharu Konfederasi Berbasikal Asia

Amarjit (kiri) menerima ucapan tahniah daripada Presiden UCI dan Ahli IOC, David Lappartient selepas pemilihan di Bangkok.

ARENA sukan berbasikal negara mencipta sejarah baharu apabila Datuk Amarjit Singh Gill dipilih Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) 2025-2028 selepas menewaskan calon dari Indonesia, Raja Sapta Oktohari di Hyatt Regency Bangkok pada Khamis.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) itu menewaskan Oktohari yang juga Presiden Majlis Olimpik Indonesia (MOI), 24-17 sekaligus melakar sejarah unik mengulangi pencapaian bapanya, Tan Sri Darshan Singh yang pernah menyandang jawatan Presiden ACC.

Sebelum ini, Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dipilih Presiden PKBM pada pemilihan Oktober lalu.

Sementara itu, Amarjit menyifatkan satu penghormatan apabila perwakilan memberi kepercayaan untuk mengetuai badan berbasikal terbesar di Asia itu.

“Saya sangat terharu dengan amanah yang diberikan semua perwakilan yang memilih saya sebagai Presiden baharu ACC. la satu penghormatan yang besar. Kemenangan ini sangat bermakna kepada Malaysia kerana ibu Pejabat ACC akan kembali semua ke Malaysia

“Saya menerima tanggungjawab ini dengan penuh rendah diri dan saya sedia maklum semua perwakilan mempunyai harapan yang besar ke atas saya untuk membawa perubahan besar di Asia.

“Saya tidak akan menghampakan semua negara di Asia dan akan bekerja untuk memastikan Agenda One Asia yang saya bawa menjadi realisasi,” katanya.

Jawatan Presiden ACC bertukar tangan apabila penyandangnya, Osama Ahmed Abdullah Al Shafar dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak bertanding selepas dua penggal mengemudi badan induk itu.

Sebagai rekod, Amarjit yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) memperoleh jumlah undi sama dengan Osama pada pemilihan Presiden ACC lalu.

Bagaimanapun, Osama menjadi Presiden untuk penggal 2021-2025 menerusi lambungan siling (toss of coin).

Ayah Amarjit, Tan Sri Darshan sebelum ini pernah menjadi Presiden ACC selama sembilan tahun bermula 1996 sehingga 2005.

Scroll to Top