RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS pada Khamis. Gambar hiasan
RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan permintaan meningkat terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu susulan pentadbiran AS mencari cara untuk mengurangkan hasil Perbendaharaan AS 10 tahun daripada menurunkan Kadar Dana Persekutuan, kata penganalisis.
Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.4320/4385 berbanding dolar AS daripada 4200/4260 semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid juga percaya kecenderungan peniaga dan pelabur untuk mengambil risiko kekal berhati-hati berikutan langkah tarif AS dan geopolitik, terutamanya mengenai Gaza, apabila Presiden AS Donald Trump menyatakan hasratnya untuk mengambil alih wilayah Palestin itu.
“Bagaimana ini akan diterjemahkan kepada keamanan global masih tidak pasti tetapi ternyata ia akan meningkatkan ketegangan geopolitik di Timur Tengah,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9036/9080 daripada 2.8930/8972 semalam, meningkat berbanding euro kepada 4.5920/5987 daripada 4.5990/6053 dan tinggi berbanding pound kepada 5.5090/5171 daripada 5.5321/5396.
Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.2742/2793 daripada 3.2746/2792 dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.1175/1433 daripada 13.1602/1844.
Ringgit berubah sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 271.2/271.7 daripada 271.2/271.8 dan merosot berbanding peso Filipina kepada 7.62/7.63 daripada 7.61/7.63 pada Rabu. – Bernama