rnoraina@hmetro.com.my
Bentong: Siasatan di lokasi kejadian nahas helikopter terhempas dan terbakar di tapak pendaratan di Batu 9, Jalan Lama Kuala Lumpur- Bentong di sini, petang ini, diambil alih Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pasukan terbabit masuk ke lokasi kira-kira 4 petang, sebaik siasatan oleh pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang selesai.
“Pegawai BSKU sudah memasuki lokasi untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kita tidak pasti berapa lama siasatan itu akan berjalan, namun ia akan memakan sedikit masa sebelum bangkai helikopter boleh dikeluarkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Selain itu, Zaiham berkata, mayat mangsa yang terbabit nahas juga sudah dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Bentong.
Beliau berkata, proses bedah siasat akan dijalankan pada jam 11 pagi, esok.
Katanya, pihak polis juga sudah berhubung dengan Kedutaan Indonesia di Malaysia bagi memaklumkan status dua mangsa membabitkan warganegara berkenaan.
“Kita (polis) sudah mengambil keterangan juruterbang untuk membantu siasatan.
“Juruterbang itu tidak mengalami kecederaan serius selepas diselamatkan seorang pengawal keselamatan yang bergegas menariknya keluar daripada helikopter.
“Buat masa ini dia dirawat di Hospital Bentong,” katanya.
Dalam kejadian jam 10.20 pagi, helikopter pengangkut jenis Bell 206L-4 Long Ranger, dilaporkan terhempas dari ketinggian kira-kira 0.9 meter ketika mahu mendarat untuk mengisi minyak.
Helikopter yang terbang dari tapak projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) terletak kira-kira 16 kilometer dari lokasi nahas dipercayai terhempas selepas skid helikopter bergesel dengan darat sebelum terbalik dan terbakar.
Kejadian itu mengakibatkan mangsa dikenal pasti sebagai Finsen Resky Sembiring, 27, yang berada di tapak pendaratan maut selepas terkena bilah helikopter.
Juruterbang juga warga Indonesia dikenal pasti sebagai Kustiyadi, 44, berada dalam helikopter cedera ringan dikejarkan ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd