hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lima individu termasuk tiga penjawat awam disyaki memberi dan menerima rasuah bagi mendapatkan kawasan pembalakan di dua negeri pantai timur dan selatan tanah air.
Perintah reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 11 Februari dikeluarkan Majistret Mohamad Ridhwan Syarizal selepas menerima permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam.
Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan kira-kira antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang Selasa lalu di beberapa lokasi melibatkan negeri di pantai timur dan di selatan tanah air melalui operasi khas SPRM.
“Siasatan awal mendapati perbuatan berkenaan dilakukan pada tahun 2016 sehingga kini dan kesemua suspek disyaki menerima rasuah kira-kira RM1 juta bagi kerja pembalakan.
“Selain itu, SPRM turut menyita dua kenderaan mewah dan wang tunai puluhan ribu ringgit,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Katanya juga, dua individu yang turut ditahan sebelum ini sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
© New Straits Times Press (M) Bhd