‘Trump seperti orang gila’

‘Trump seperti orang gila’

KHAN YOUNIS – Seorang penduduk di Genting Gaza, Fathi Abu al-Saeed menyifatkan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai ‘orang gila’ yang tidak tahu menahu mengenai tanah air, perjuangan, penentangan dan kemegahan, lapor Al Jazeera.

Fathi, 72, yang baru pulang dari kawasan penempatan di pantai al-Mawasi dan menuju ke Khan Younis sejak gencatan senjata kumpulan Hamas-Israel menunjukkan rumahnya yang hancur berkecai dibedil rejim Zionis itu.

“Anda melihat runtuhan yang tidak berguna, tetapi ia sebenarnya lebih berharga daripada Amerika Syarikat dan segala-galanya.

“Trump bercakap seolah-olah dia seorang raja yang menghulurkan tanah,” kata Abu al-Saeed menempelak kenyataan dibuat Presiden AS itu yang berhasrat menjadikan Gaza sebagai resort mewah ala ‘Riviera di Asia Barat’ dengan menghalau penduduknya ke Mesir atau Jordan.

Komen dibuat Trump selepas bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih telah membawa kecaman meluas pemimpin dunia termasuk Hamas yang menggelarkannya sebagai sebuah ‘rancangan gila’.

Bagaimanapun pada Rabu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio cuba menolak rancangan Trump untuk menempatkan penduduk Gaza secara kekal di negara jiran, mengatakan mereka hanya perlu tinggal ‘sementara’ kerana wilayah terbabit akan dibangunkan semula.

Sepanjang, 15 bulan pengeboman Israel, lebih 60 peratus infrastruktur Gaza telah musnah, termasuk hospital, universiti dan sekolah.

“Ini adalah cakap orang gila. Pepatah orang Arab berkata, jika kita berbicara orang gila, hendaklah kita yang mendengarnya sebagai orang yang waras.

“Lelaki ini (Trump) tidak tahu apa-apa tentang tanah air, perjuangan, penentangan, kemegahan,” kata Fathi.

Beliau menegaskan, mana-mana orang waras yang mengenali Palestin bahawa penduduknya tidak sesekali meninggalkan tanah air sendiri kecuali mati.

“Adakah Trump benar-benar fikir kami akan berkemas dan pergi selepas semua ini terjadi,” tambahnya. – Agensi

Scroll to Top