Khazanah garis tiga teras perkukuh operasi masa depan MAHB

Khazanah garis tiga teras perkukuh operasi masa depan MAHB

PETALING JAYA: Khazanah Nasional Bhd. menggariskan tiga teras utama bagi Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) meningkatkan operasi pengendali lapangan terbang itu pada masa hadapan, kata Pengarah Urusan Khazanah.

Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, tiga objektif tersebut memfokuskan kepada pengalaman pelanggan, teknologi dan ketersambungan.

“Dalam usaha meningkatkan pengalaman pelanggan MAHB dicadangkan supaya meneliti aliran penumpang iaitu dengan mengurangkan masa daftar masuk dan menunggu.

“Langkah ini bagi memastikan penumpang dapat menikmati pengalaman menyeluruh di lapangan terbang.

“Berkaitan ketersambungan, ia mungkin boleh dilihat dari perspektif sebuah syarikat penerbangan.

“Mereka mungkin akan mempunyai strategi rangkaian, untuk menyambungkan pelbagai pihak dan memendekkan tempoh transit,” katanya kepada pemberita taklimat media Kajian Tahunan Khazanah (KAR) 2025.

Bulan lalu, konsortium yang dipimpin oleh Khazanah, Gateway Development Alliance Sdn. Bhd., telah mendapat penerimaan sah 94.47 peratus saham terbitan MAHB menjadikan tawaran pengambilalihan telah menjadi tidak bersyarat selepas lapan bulan tawaran pengambilalihan itu pertama kali dicadangkan.

Mengulas mengenai kepimpinan masa depan MAHB, beliau berkata, ia masih terlalu awal untuk menentukan barisan pengurusan baru syarikat itu memandangkan proses pengambilalihan yang sedang berlangsung.

“Saya rasa, sejujurnya, ia terlalu awal untuk melihat soalan itu. Saya rasa ada ramai calon yang bagus di lapangan terbang itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Amirul Feisal turut memuji usaha imigresen yang memperkenalkan MyBorderPass, namun menegaskan lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi memastikan kesedaran dan penggunaan yang meluas.

“Saya pernah menggunakannya tetapi saya fikir penumpang masih perlu berbaris panjang. Jadi, sistem ini perlu diteliti semula,” katanya. – UTUSAN

 

Scroll to Top