Penguatkuasaan imigresen pentadbiran Trump: 435 warga Malaysia dalam senarai pengusiran

Penguatkuasaan imigresen pentadbiran Trump: 435 warga Malaysia dalam senarai pengusiran

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 435 rakyat Malaysia termasuk dalam 1.44 juta bukan warganegara Amerika Syarikat (AS) yang menerima arahan akhir pengusiran daripada Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE).

Menurut data Operasi Penguatkuasaan dan Penyingkiran (ERO) ICE yang dikeluarkan pada November lalu, kira-kira 435 rakyat Malaysia kini berada dalam doket bukan tahanan ICE dengan arahan penyingkiran muktamad.

Ini meletakkan Malaysia dalam kategori pertengahan antara negara yang terjejas akibat pengusiran itu.

Data ini kembali mendapat perhatian susulan kepulangan Donald Trump ke Rumah Putih bulan ini, berikutan usaha pentadbirannya memperketatkan penguatkuasaan imigresen.

Dokumen ICE menunjukkan bahawa walaupun bukan warganegara yang menerima arahan pengusiran akhir boleh mendapatkan perlindungan melalui suaka atau Konvensyen Menentang Penyeksaan, kerajaan AS tetap mengharapkan negara asal menerima kepulangan rakyat mereka.

“Kekurangan kerjasama daripada kerajaan asing melambatkan dan dalam banyak kes, menghalang proses pengusiran,” menurut kenyataan ICE.

Agensi itu menggesa kerajaan asing untuk mengesahkan kewarganegaraan, mengeluarkan dokumen perjalanan dengan segera, dan menerima penghantaran pulang rakyat mereka melalui penerbangan komersial atau sewaan khas.

Kegagalan untuk mematuhi boleh menyebabkan sesebuah negara diklasifikasikan sebagai tidak bekerjasama atau berisiko tidak mematuhi.

Ketika ini, 15 negara termasuk China, India, dan Pakistan disenaraikan sebagai tidak bekerjasama, manakala 11 negara lain seperti Vietnam dan Iraq dianggap berisiko.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top