SDGI bekal produk ke pasaran Eropah

SDGI bekal produk ke pasaran Eropah

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: SD Guthrie International Limited (SDGI), dahulunya dikenali sebagai Sime Darby Oils International Limited membeli 48 peratus pegangan ekuiti dalam Marvesa Supply Chain Services BV (Marvesa), syarikat berpangkalan di Belanda.

Ketua Pegawai Eksekutif SDGI, Dr Shariman Alwani berkata, transaksi pemerolehan yang bernilai EUR54.2 juta (kira-kira RM250 juta) meningkatkan keupayaan SDGI dalam membekal produk minyak dan lelemak kepada industri strategik makanan haiwan dan biobahan api di Eropah.

Katanya, pemerolehan ekuiti ini membuka peluang untuk SDGI menempa kejayaan jangka panjang dalam pasaran baru.

“Amat penting untuk SDGI bekerjasama dengan rakan niaga yang kuat dan sehaluan untuk menangani permintaan dan sebarang perubahan kawal selia dalam pasaran Eropah.

“Kedudukan kami di Eropah kini lebih kukuh dan kami akan terus membina dan menguatkan lebih banyak lagi hubungan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pegangan ekuiti sebanyak 48 peratus itu diperolehi daripada Parcom, firma ekuiti persendirian dan baki ekuiti 52 peratus masih lagi dimiliki BGR Beheer BV pihak pengurusan eksekutif sedia ada di Marvesa.

SDGI adalah anak syarikat milik penuh serta perniagaan hiliran SD Guthrie Berhad (SD Guthrie) yang menjadi salah satu pengeluar terbesar minyak sawit diperakui lestari (CSPO) di dunia yang

menghasilkan lebih kurang 12 peratus daripada jumlah keseluruhan CSPO global.

SD Guthrie juga mempunyai operasi perniagaan di 12 negara dan syarikat global bersepadu yang beroperasi di sepanjang rantaian nilai minyak sawit.

Manakala Marvesa, jenama terkenal di pasaran Eropah dalam penyumberan, pengadunan dan pengedaran produk minyak dan lelemak kepada industri pembuatan makanan haiwan dan industri biobahan api.

Kerjasama antara SDGI dan Marvesa mewujudkan satu sinergi perniagaan yang mantap dan Marvesa mempunyai volum dagangan sedia ada bagi produk lesitin, minyak soya serta minyak sayuran lain yang selaras dengan strategi pempelbagaian SDGI dalam sektor produk bukan berasaskan minyak sawit.

Ini membolehkan kedua-dua syarikat menembusi pasaran berpotensi tinggi seperti di Asia Pasifik Utara dan Tengah, Timur Tengah dan Afrika serta Benua Amerika.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top