Potensi berkembang masih ada

Potensi berkembang masih ada

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Dalam kembara kehidupan, ada suara menjadi latar, membentuk jiwa dan menghidupkan kenangan. Bagi saya, antara suara itu adalah nasyid.

Masih segar dalam ingatan zaman kanak-kanak saya, ketika kaset-kaset nasyid menghiasi rak kecil di rumah, diulang putar di dalam pemain kaset yang sudah haus butangnya.

Nama-nama seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz, Nowseeheart dan In-Team bukan sekadar penyanyi, tetapi pembimbing spiritual yang lagunya menjadi peneman dalam perjalanan jauh menaiki kereta bersama keluarga.

Melodi mereka bukan sekadar hiburan, tetapi peringatan yang menyentuh hati. Saya masih ingat betapa besarnya pengaruh nasyid ketika itu. Gaya dan penampilan artis nasyid menjadi ikutan.

Saya pernah beli kopiah ala Hijjaz merasakan bahawa dengan mengenakannya, saya sedikit sebanyak menyerap aura kesolehan yang mereka bawa.

Anak-anak sekolah menengah ketika itu sering menyanyikan lagu nasyid dalam perhimpunan, pertandingan dan sesi qasidah di surau. Nasyid bukan sekadar lagu, tetapi budaya yang erat dalam masyarakat Melayu Islam kita.

Namun, waktu terus berlalu dan perubahan tidak dapat dielakkan. Industri muzik nasyid yang suatu ketika dahulu begitu gemilang kini tidak lagi gah.

Jika pada era 90-an dan awal 2000-an album nasyid mampu terjual ratusan ribu unit, kini angka itu jauh menyusut. Dahulu, Raihan mampu menjual lebih satu juta unit album Puji-Pujian, satu rekod yang belum diatasi mana-mana kumpulan nasyid sehingga ke hari ini.

Rabbani pula dengan imej serban dan jubahnya sentiasa menjadi pilihan dalam majlis besar dan siaran televisyen. Malangnya, kegemilangan itu seakan pudar seiring perubahan zaman dan selera masyarakat yang lebih cenderung kepada muzik komersial.

Adakah ini bermakna nasyid sudah mati? Tidak sama sekali.

Walaupun popularitinya tidak seperti dahulu, industri nasyid masih hidup dan terus berkembang dalam bentuk yang lebih moden dan pelbagai. Kita melihat kemunculan penyanyi nasyid solo seperti Hafiz Hamidun yang berjaya membawa elemen kontemporari dalam muziknya.

Malah, kumpulan seperti Unic dan Mestica masih bertahan dalam industri, mencipta lagu baharu yang sesuai dengan cita rasa semasa.

Salah satu cabaran utama industri nasyid hari ini adalah kekurangan platform promosi yang efektif. Lagu-lagu nasyid jarang dimainkan di stesen radio arus perdana.

Hanya beberapa stesen radio bercorak Islamik seperti IKIM.fm yang konsisten memberikan ruang kepada muzik nasyid. Sedangkan lagu-lagu pop dan balada komersial mendapat putaran tinggi di pelbagai saluran radio, nasyid seolah-olah terpinggir daripada arus utama.

Hal ini secara tidak langsung menyukarkan penyanyi dan kumpulan nasyid untuk mendapat pendedahan yang lebih luas kepada khalayak. Namun begitu, tidak adil untuk menyalahkan media sahaja.

Hakikatnya, industri muzik secara keseluruhan sudah berubah. Format pendengar kini lebih tertumpu kepada platform digital seperti YouTube, Spotify dan Apple Music.

Ini membuka ruang baharu kepada penggiat nasyid untuk berkarya tanpa terlalu bergantung kepada stesen radio dan televisyen. Beberapa artis nasyid memanfaatkan medium ini, mencipta kandungan yang relevan dengan generasi kini.

Muzik nasyid juga mengalami inovasi dari segi susunan muzik dan genre. Jika dahulu nasyid lebih sinonim dengan acapella dan peralatan tradisional seperti gendang dan rebana, kini elemen pop, R&B, dan hip-hop mula diserapkan ke dalam muzik nasyid.

Contohnya, lagu nasyid dengan elemen EDM (electronic dance music) dan lo-fi semakin mendapat perhatian. Ini membuktikan muzik nasyid tidak statik, tetapi bergerak seiring perkembangan zaman.

Walaupun begitu, untuk memastikan industri nasyid berdaya maju, beberapa langkah perlu diambil. Program pencarian bakat baharu perlu diperkasa.

Jika dahulu kita pernah lihat program seperti Akademi Nasyid yang mengetengahkan bakat baharu dunia nasyid, kini program seumpamanya hampir tiada.

Sedangkan industri pop dan rock masih ada pelbagai platform seperti Mentor, Big Stage, dan Anugerah Juara Lagu untuk mencungkil dan mengiktiraf bakat baharu.

Justeru, wajar jika lebih banyak pertandingan dan rancangan realiti nasyid diadakan bagi menghidupkan semula minat masyarakat terhadap genre ini.

Selain itu, acara anugerah bagi menghargai pengkarya muzik nasyid harus diperbanyakkan. Baru-baru ini, Anugerah Carta 114 dianjur TV Alhijrah adalah langkah yang wajar dipuji kerana ia memberi pengiktirafan kepada artis dan pencipta lagu nasyid.

Dengan lebih banyak anugerah dan penganjuran acara sebegini, ia bukan saja memberi semangat kepada penggiat nasyid, tetapi menarik perhatian masyarakat untuk kembali menghargai genre ini.

Industri muzik nasyid juga perlu agresif dalam pemasaran dan strategi promosi. Mungkin tiba masanya penggiat nasyid meneroka pelbagai kolaborasi dengan artis daripada genre lain, tanpa mengorbankan nilai dan prinsip nasyid itu sendiri.

Akhirnya, masa depan nasyid terletak di tangan peminatnya. Jika kita sebagai pendengar dan pencinta nasyid ingin melihat genre ini terus berkembang, kita harus lebih memberi sokongan.

Mendengar, berkongsi, dan mempromosi lagu-lagu nasyid di media sosial adalah langkah kecil yang boleh memberikan impak besar kepada industri. Kita juga harus menyokong konsert, festival dan pelbagai inisiatif lain yang diusahakan oleh artis nasyid.

Walaupun nasyid hari ini mungkin tidak segah dahulu, ia masih mempunyai ruang untuk berkembang dan terus relevan.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top