mhafis@mediaprima.com.my
Puchong: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur medan selera yang dipercayai diusahakan oleh warga asing dari Myanmar dan Bangladesh di tanah persendirian berkeluasan 1.6 hektar di Pusat Bandar Puchong, di sini, semalam.
Warga itu juga dipercayai berselindung di sebalik Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sudah tamat tempoh serta pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, medan selera itu diserbu dalam operasi bersepadu oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain, Bahagian ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurutnya, serbuan dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama satu minggu.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pasukan operasi dengan kekuatan 95 pegawai pelbagai pangkat diatur gerak ke premis itu dan memeriksa 102 individu yang terdiri daripada warga asing dan warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan, 58 warga asing ditahan, terdiri daripada 31 lelaki dan 10 wanita Myanmar, dua lelaki dan seorang wanita Indonesia, sembilan lelaki Bangladesh, empat lelaki warga India dan seorang lelaki Vietnam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 18 hingga 40 tahun, ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal lebih masa dan yang menyalah guna pas di negara ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd