Pelakon sensasi Fattah Amin mengakui rezeki dalam bidang hiburan semakin melimpah ruah selepas bercerai.
Menurut Fattah, banyak peluang yang hadir untuk dirinya termasuklah dalam bidang lakonan, perniagaan dan tawaran menjadi duta produk serta jenama.
“Paling nampak rezeki saya melimpah ruah adalah selepas bercerai. Alhamdulillah, Allah memberikan saya rezeki dalam bidang lakonan, perniagaan dan pelbagai jenama juga datang untuk menjalinkan kerjasama,” katanya.
Tambah bapa kepada Nur Fatima Aisya ini, dia dan pihak pengurusan berbesar hati menerima rezeki yang datang namun semua tawaran yang diterima melalui proses tapisan.
“Kita tak hadkan rezeki, tapi pada masa yang sama, kita memilih tawaran yang datang. Kita terima rezeki yang datang dan kami menapis apa yang sesuai dan tidak sesuai.
“Kami memilih jenama yang dipercayai, dari sudut kualiti produk, bagaimana ‘branding’ mereka, perancangan untuk pemasaran. Itu perkara yang saya dan pihak pengurusan berikan fokus sebelum menerima sesebuah tawaran,” katanya kepada XTRA.
Fattah ditemui pada majlis pelancaran dirinya sebagai duta produk kecantikan dan kosmetik Rissa Skin di Hotel Royal Chulan Damansara pada Sabtu.
Fattah yang sebelum ini telah berjaya membawa kejayaan kepada Putey Whitening Coffee, kini diberi tanggungjawab baharu sebagai wajah rasmi untuk produk krim malam Rissa Skin.
Karisma dan kredibiliti Fattah Amin bukan sahaja memperkukuh jenama Rissa Skin tetapi juga memberikan keyakinan kepada pengguna terhadap keberkesanan produk yang ditawarkan.
“Alhamdulillah, saya sangat teruja dan bersyukur dilantik sebagai duta untuk Intensive Repair Night Cream Rissa Skin. Saya harap dapat memberikan yang terbaik dalam peranan baru ini. Harapan saya, melalui kerjasama ini saya dapat bantu untuk tingkatkan lagi jenama Rissa Skin,” katanya selaku duta baharu bagi produk krim malam Rissa Skin.
Dihoskan oleh Bell Ngasri dan Fiza Frizzy, majlis itu turut dihadiri oleh Haji Ahmad Shah Rizal selaku Pengasas Rissa Skin dan dimeriahkan dengan persembahan oleh Amira Othman.