RM10 juta bina jejantas hadapan SK Sungai Leman

RM10 juta bina jejantas hadapan SK Sungai Leman

am@hmetro.com.my

Sekinchan: Jejantas dengan kemudahan pejalan kaki dan laluan motosikal akan dibina berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Leman, di sini susulan aliran trafik yang tinggi dan berisiko dilalui kenderaan berat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja ukur dan siasatan tanah bakal dilaksanakan pada Mac ini dengan proses pengiklanan projek pada November ini.

Beliau berkata, penyerahan surat setuju terima (SST) kepada kontraktor yang layak dan terpilih dijangka diadakan pada Mac tahun depan.

“Saya dimaklumkan ada kemalangan meragut nyawa semalam. Oleh itu, keperluan membina jejantas ini adalah mendesak kerana terdapat sekolah, masjid dan rumah di kawasan ini.

“Dengan adanya jejantas ini dapat meningkatkan keselamatan dan keselesaan serta melancarkan trafik. Kos pembinaan saya difahamkan kira-kira RM 10 juta,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke lokasi tapak pembinaan, hari ini.

Pada masa sama, Nanta Linggi memaklumkan projek lain yang diluluskan adalah kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan yang bermula dari Parit 4, Sekinchan dan berakhir di Jambatan Sabak Bernam sejauh 42.2 kilometer (KM).

“Keutamaan projek baik pulih jalan yang kritikal membabitkan penurapan semula, pembaikan sistem perparitan dan penggantian struktur jalan yang rosak.

“Kerja-kerja menaik taraf lampu jalan juga diberikan keutamaan seperti penambahan pemasangan lampu solar, pembaikan ‘feeder pillar’, penggantian kabel dan pembaikan lampu isyarat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top