Jurutera, pemilik syarikat antara 6 ditahan bantu siasatan kes rasuah

Jurutera, pemilik syarikat antara 6 ditahan bantu siasatan kes rasuah

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu termasuk seorang jurutera awam dan tiga pemilik syarikat disyaki memberi rasuah bagi memonopoli kesemua projek yang ditawarkan dua jabatan kerajaan di dua daerah sekitar negeri Sarawak.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 40 hingga 70-an itu ditahan kira-kira jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, hari ini di beberapa lokasi sekitar Sarawak melalui satu operasi khas yang dijalankan.

“Siasatan awal mendapati perbuatan itu dilakukan pada tahun 2006 sehingga kini dan kontraktor yang terlibat membenarkan lesennya digunakan turut menerima komisyen sehingga 10 peratus daripada nilai projek berkenaan.

“Pada masa yang sama, jurutera awam terbabit turut menerima upah kerana membantu mendapatkan projek jabatan berkenaan,” katanya.

Dalam operasi itu, SPRM turut menyita sebuah kenderaan Proton X70, wang tunai berjumlah kira-kira RM450,000 dan barang kemas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Miri, Mahkamah Sibu dan Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak esok untuk tujuan permohonan reman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top