Steidten tinggalkan West Ham selepas Potter bawa masuk Macaulay

Steidten tinggalkan West Ham selepas Potter bawa masuk Macaulay

London: Pengarah Teknikal West Ham United, Tim Steidten, akan meninggalkan kelab selepas pengurus baharu, Graham Potter, membawa masuk ketua pemantau bakat sendiri, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu

Potter mengambil alih tugas di West Ham bulan lalu bagi menggantikan Julen Lopetegui, dan bekas pengendali Chelsea itu membawa masuk Kyle Macaulay, individu yang bekerja dengannya sejak 2012 ketika mereka bersama kelab Sweden, Ostersund.

Macaulay sebelum ini pernah berkhidmat sebagai penganalisis rekrut di Swansea City sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua pemantau bakat.

Beliau kemudian mengikuti Potter ke Brighton & Hove Albion dan Chelsea sebagai ketua pemantau bakat.

“Tim memainkan peranan penting dalam usaha mengesan bakat skuad kami. Dengan ketibaan ketua jurulatih baharu, Graham Potter, yang membawa masuk ketua pemantau bakat sendiri, sudah tiba masanya untuk Tim meneroka peluang baharu,” kata kenyataan rasmi kelab.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Tim atas dedikasi dan kerja kerasnya serta mendoakan yang terbaik untuk masa depannya.”

Steidten sebelum ini membawa masuk Lopetegui bagi menggantikan David Moyes serta mengendalikan urusan perpindahan kelab, di mana West Ham membelanjakan lebih £120 juta (RM656 juta) bagi membentuk pasukan kompetitif untuk musim ini.

Namun, Lopetegui gagal memberikan impak yang diharapkan dan dipecat apabila pasukan terperosok di tangga ke-14 selepas 20 perlawanan, termasuk beberapa kekalahan besar sebelum pemecatannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top