Noorkhiriah berharap tiada lagi persoalan mengenai anugerah

Noorkhiriah berharap tiada lagi persoalan mengenai anugerah

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon Noorkhiriah Ahmad Shapie, 48, berharap tiada lagi persoalan membabitkan dirinya pernah memenangi anugerah yang sering ditanya oleh segelintir netizen kepadanya menerusi komen ditulis.

Pada hantaran terbaharu di akaun Instagram (IG), Noorkhiriah yang memuatnaik foto dia memenangi Anugerah Seri Angkasa pada 2022 memaklumkan kurang selesa dan mohon agar tidak berterusan ditanya lagi mengenai anugerah.

“29 Oktober 2022..Selebihnya belum bertudung..cukup ye, jangan tanya lagi. Maafkan kakak tak selesa..kerja adalah amanah.. selebihnya izin Allah.

“Terima kasih semua atas komen dan ‘support’ (sokongan)..kurang lebih kakak mohon maaf,” tulisnya pada hantaran itu.

Ibu tiga cahaya mata ini turut mengingatkan agar tidak lupa menonton drama terbaharunya, Seribu Tahun mulai 18 Februari ini di Astro Ria, jam 9 malam.

“Pesan kakak, tengok dengan mata hati dan amati..kasih dan sayang ‘level’ tertinggi macam itulah,” katanya.

Meninjau di ruangan komen, ramai yang meninggalkan komen positif kepada Noorkhiriah, termasuk kata-kata semangat kepadanya agar terus berjaya dalam karier seni.

“Ini orang ada barang punyalah. Menyala kakakku,” komen seorang netizen.

“Alhamdulillah, tahniah kak. Semoga terus berjaya dunia dan akhirat. Amin,” tulis warganet.

“Tak apa kak, yang penting Allah tahu kerja keras kakak. Apa yang kakak buat semua kerana Allah, kata wargamaya.

Pada November tahun lalu, Noorkhiriah pernah memuatnaik hantaran yang sama di IG berkaitan dirinya ditanya seorang pengguna media sosial mengenai anugerah pernah dimenangi.

Dia yang berkongsi foto beberapa anugerah dimenangi sebagai penjelasan meminta agar tiada lagi wargamaya bertanyakan mengenai perkara itu di ruangan komen.

Namun, kini muncul lagi pertanyaan sama yang menunjukkan masih ada segelintir netizen yang mengikuti Noorkhiriah di media sosial tidak peka dengan kejayaan pernah diraihnya selama aktif sebagai pelakon.

Noorkhiriah pernah menang tiga kali berturut-turut anugerah Artis Komedi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada 2009, 2010 dan 2011.

Selain itu, pelakon drama Nur ini juga pernah menang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama) di Anugerah Skrin TV3 pada 2007 dan Pelakon Wanita Terbaik (Drama) di Anugerah Skrin TV3 (2010).

Dua tahun lalu, Noorkhiriah memenangi anugerah Pelakon TV Komedi Terbaik (Telefilem) di Anugerah Seri Angkasa 2022 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top