China bertindak balas terhadap AS, perkenal tambahan cukai barangan import

China bertindak balas terhadap AS, perkenal tambahan cukai barangan import
China bertindak balas terhadap AS, perkenal tambahan cukai barangan import

Perang tarif di antara Amerika Syarikat (AS) dan China kembali tegang setelah China bakal memperkenalkan tambahan cukai terhadap setiap barangan import dari AS sebagai satu keputusan tindak balas.

BEIJING – Perang tarif di antara dua gergasi ekonomi, Amerika Syarikat (AS) dan China kembali tegang setelah negara kedua terbesar dunia itu bakal memperkenalkan tambahan cukai terhadap setiap barangan import dari AS sebagai satu keputusan tindak balas.

Justeru, China mengenakan tambahan cukai 10 peratus ke atas semua barangan import dari AS yang berkuatkuasa hari ini.

Keputusan ini diambil selepas Presiden AS, Donald Trump berulang kali memberi amaran kepada Beijing bahawa mereka kurang berusaha menghentikan aktiviti pengedaran dadah haram ke negara itu.

Kementerian Kewangan China pula mengumumkan mereka bakal mengenakan cukai 15 peratus terhadap sebarang pengimportan arang batu dan gas asli cecair (LNG) dari AS.

Selain itu, cukai 10 peratus bakal dilaksanakan China ke atas pengimportan minyak mentah, peralatan pertanian, beberapa jenis trak dan kenderaan sedan enjin besar yang dihantar dari AS ke negara Tembok Besar.

China juga bakal memulakan siasatan anti-monopoli terhadap syarikat induk Google, Alphabet Inc serta menyenarai hitam syarikat PVH Corp yang memiliki jenama terkemuka seperti Calvin Klein.

Kementerian Perdagangan dan Pentadbiran Kastam di China turut mengenakan kawalan eksport ke atas beberapa bahan logam untuk elektronik, peralatan ketenteraan dan panel solar.

Di samping itu, China turut mengenakan cukai 10 peratus terhadap trak elektrik yang diimport dari AS termasuk jualan kenderaan Cybertruck keluaran syarikat Elon Musk, Tesla iaitu model khas yang dipromosikan di China.

Pada 3 Februari, Trump menangguhkan ancaman peningkatan tarif 25 peratus terhadap Mexico dan Kanada serta bersetuju memberi tempoh 30 hari sebagai pertukaran untuk konsesi mengenai kawalan sempadan.

Namun, pengecualian seperti itu tidak ditawarkan kepada China dengan jurucakap Rumah Putih mendedahkan Trump tidak akan berbincang dengan Presidennya, Xi Jinping sehingga hujung minggu.

Pada 2018, Trump memulakan perang perdagangan besar-besaran terhadap China apabila kedua-dua negara mengenakan cukai terhadap pelbagai barangan melibatkan nilai ratusan bilion dolar, sekali gus mmengganggu rantaian bekalan global dan menjejaskan ekonomi dunia.

Bagi menamatkan perang perdagangan itu, China bersetuju pada tahun 2020 untuk meningkatkan pembelian barangan dari AS sebanyak AS$200 bilion (RM888.60 bilion) setahun namun perancangan itu tergendala akibat pandemik Covid-19.

Scroll to Top