am@hmetro.com.my
Kuantan: Status kemajuan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kelantan dan Selangor kini mencapai 78.5 peratus setakat Januari lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata tahap kemajuan yang meyakinkan itu selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL fasa pertama dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember 2026.
Katanya, jajaran fasa kedua antara Gombak ke Pelabuhan Selangor, Selangor akan disiapkan menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.
“Alhamdulillah, projek ini (ECRL) bukan projek kecil tetapi projek yang besar dengan mengambil kira kerjasama. Oleh itu, saya ucapkan tahniah kepada MRL (Malaysia Rail Link Sdn Bhd) CCC-ECRL (China Communications Construction Sdn Bhd) kerana dapat berganding bahu untuk menjayakan kemajuan projek ini.
“Insya-Allah projek ECRL ini akan siap pada hujung tahun depan (2026) dan boleh beroperasi pada 2027. Tetapi yang lebih penting ialah projek ini ialah untuk membuka ekonomi di Pantai Timur untuk menarik lebih banyak pelaburan,” katanya.
Amir Hamzah berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Laporan Impak Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi projek ECRL di tapak projek ECRL Seksyen 10, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim.
Terdahulu, dalam ucapan pada majlis pelancaran itu, beliau berkata, projek ECRL yang bernilai RM50.27 bilion sepanjang 665 kilometer itu adalah inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menghubungkan negeri di Pantai Timur dengan Lembah Klang.
Katanya, selain itu ia meningkatkan mobiliti rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Projek ini juga memperkasa keupayaan bakat tempatan berkemahiran dalam industri rel,” katanya.
Sementara itu, Darwis berkata, projek ECRL itu berada pada landasan yang tepat untuk siap mengikut jadual serta menjalankan aktiviti pembinaan dengan lancar di 361 tapak kerja yang aktif dengan lebih 18,000 warga kerja yang terbabit di sepanjang jajaran ECRL.
© New Straits Times Press (M) Bhd