mhafis@mediaprima.com.my
Kajang: Pengarah syarikat swasta kerugian lebih RM2 juta selepas ditipu pelaburan tidak wujud berkaitan mata wang kripto.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor menerima laporan polis di Daerah Kajang berkaitan kes penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan lelaki berusia 77 tahun dan pengarah syarikat swasta melibatkan kerugian berjumlah RM2,118,810.
Menurutnya, pihak polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan awal mendapati pada bulan Ogos 2024, mangsa melihat iklan di Facebook berkenaan satu pelaburan mata wang kripto yang dianjurkan oleh Syarikat Digzax Exchanger.
“Mangsa tertarik dengan tawaran yang ditawarkan dan berhubung dengan suspek melalui WhatsApp untuk menyertai pelaburan berkenaan seterusnya mendaftar di laman sesawang Digzax,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata, mangsa membuat 26 transaksi ke dalam 11 akaun berbeza kerana dijanjikan keuntungan yang lumayan.
“Selepas pindahan wang dilakukan, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan dan diminta oleh suspek untuk membayar cukai berjumlah RM1.2 juta bagi mengeluarkan keuntungan daripada platform itu.
“Oleh itu, mangsa berasa tertipu dan tampil membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi yang digunakan oleh suspek adalah dengan memperdayakan mangsa melalui iklan pelaburan di aplikasi media sosial Facebook.
© New Straits Times Press (M) Bhd