London: Lebih 150 organisasi hak asasi manusia, kesatuan pekerja dan kumpulan masyarakat sivil menggesa Suruhanjaya Eropah untuk mengharamkan perdagangan dengan penempatan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT), lapor Agensi Anadolu (AA).
Dalam surat yang dihantar pada Selasa kepada Ursula von der Leyen, Presiden Suruhanjaya Eropah, kumpulan berkenaan menyatakan bahawa larangan perdagangan dengan peneroka haram adalah “penting” bagi EU dan negara anggotanya untuk mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa.
Merujuk kepada pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tahun lalu mengenai pendudukan Israel di wilayah Palestin, mereka menegaskan bahawa semua negara mempunyai “kewajipan … untuk tidak menjalinkan hubungan ekonomi atau perdagangan dengan Israel berhubung [OPT] atau mana-mana bahagiannya yang boleh mengukuhkan kehadiran Israel secara tidak sah di wilayah tersebut.”
“Dasar EU ketika ini yang membezakan antara barangan yang dihasilkan di Israel dan yang dihasilkan di penempatan tidak memenuhi kewajipan ini,” menurut surat itu.
Ia turut menyatakan bahawa perbezaan ini masih membolehkan barangan dari penempatan haram memasuki pasaran EU, yang “bertentangan dengan kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”
Mereka menegaskan bahawa dengan berdagang dengan penempatan haram Israel, EU bukan sahaja melanggar kewajipan undang-undangnya sendiri tetapi juga menyumbang kepada pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan sistematik serta pelanggaran undang-undang antarabangsa yang lain.
“Walaupun terdapat konsensus dalam EU mengenai ketidaksahan penempatan dan kaitannya dengan pencabulan hak asasi yang serius, EU terus berdagang dan membenarkan urus niaga dengan mereka, sekali gus membantu mengekalkan pencabulan hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa yang berkaitan dengan penerusan dan pengembangan penempatan tersebut.”
Menekankan “keperluan mendesak untuk mematuhi undang-undang antarabangsa,” surat itu menggesa Suruhanjaya Eropah untuk segera memperkenalkan undang-undang bagi melarang perdagangan dan pelaburan di penempatan haram serta mengeluarkan dokumen nasihat yang diperketatkan bagi menghalang perniagaan Eropah daripada terlibat dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada penempatan Israel.
Sebanyak 163 NGO, termasuk kumpulan hak asasi manusia seperti Human Rights Watch, kesatuan pekerja dan pelbagai segmen masyarakat sivil di seluruh Eropah, telah menandatangani surat itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd