Pengeluar China akan pindah pengeluaran ke luar negara elak tarif AS

Pengeluar China akan pindah pengeluaran ke luar negara elak tarif AS
Pengeluar China akan pindah pengeluaran ke luar negara elak tarif AS

Pengeluar China merancang untuk memindahkan sebahagian pengeluaran ke lokasi seperti Timur Tengah bagi mengelak tarif yang dikenakan AS, selepas kehilangan pasaran akibat tarif import yang tinggi. Foto AFP

MOSCOW – Pengeluar dari China merancang untuk mempercepat usaha memindahkan pengeluaran ke negara lain bagi mengelak tarif Amerika Syarikat (AS), lapor Sputnik/RIA Novosti.

Menurut Financial Times (FT) pada Selasa, syarikat yang berpangkalan di selatan China menyatakan strategi mereka termasuk mengalihkan sebahagian pengeluaran ke lokasi lain, termasuk Timur Tengah, memindahkan kos kepada pelanggan AS serta mencari pasaran alternatif.

“Ramai pengeksport China, khususnya dalam pasaran produk pengguna, telah kehilangan sebahagian pasaran mereka di AS sejak beberapa tahun lalu selepas tarif dikenakan,” kata Michael Lu, presiden pengeluar kotak hadiah yang berpangkalan di China, Brothersbox, seperti yang dipetik oleh FT.

Pada Sabtu, Presiden AS, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan tarif ke atas barangan yang diimport dari Kanada, Mexico dan China berkuat kuasa 4 Feb. Tarif import AS sebanyak 25 peratus akan dikenakan ke atas semua barangan dari Kanada, kecuali sumber tenaga yang dikenakan kadar 10 peratus. Tarif ke atas barangan dari Mexico juga ditetapkan pada kadar 25 peratus, manakala barangan dari China akan dikenakan tarif 10 peratus, sebagai tambahan kepada tarif sedia ada ke atas import China ke AS.

Pada Isnin, Trump mengumumkan pengecualian sementara tarif selama sebulan bagi Mexico dan Kanada selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin kedua-dua negara, yang mereka berjanji untuk meningkatkan keselamatan sempadan. – Bernama

Scroll to Top